Lim duduk di dalam keretanya yang remu sambil menunjukkan kepada pemberita bagaimana dia diserang. |
KUALA LUMPUR - Seorang mangsa pergaduhan di Plaza Low Yat Plaza Ahad lalu menolak dakwaan bahawa dia telah melakukan provokasi sehingga menimbulkan rusuhan mengakibatkan dia dan dua rakannya cedera, serta keretanya remuk.
Jurujual bebas Patrick Lim, 21, berkata dia tidak pernah mengucapkan kata-kata berunsur perkauman apabila berhadapan dengan kumpulan perusuh ketika dia sedang memandu pulang selepas makan malam di Jalan Pudu.
"Saya tidak pernah menjerit (kepada rusuhan) bahawa orang Melayu tidak berguna atau membuat apa-apa kenyataan perkauman semasa kejadian itu.
"Saya tahu tentang laporan yang mendakwa saya telah menjerit tetapi saya tidak pernah berkata apa-apa yang bersifat perkauman. Saya tidak pernah melawan balik.
"Jika anda berada di tempat saya, dikelilingi oleh 80 hingga 100 orang, adakah anda akan berani berteriak kepada mereka dan berjuang seperti superhero?
"Saya hanya berdiam diri, saya terkejut dan saya rasa tidak berdaya," kata Lim pada sidang akhbar yang dianjurkan oleh Adun Mentakab (DAP) Tengku Zulpuri Shah di sini pada Rabu.
Sidang akhbar itu diadakan di bengkel di mana Lim telah menghantar keretanya untuk diperbaiki.
Lim mengimbas kembali apa yang berlaku dalam serangan itu. Katanya, ketika itu dia berada dalam keretanya berhampiran Berjaya Times Square dan Penjara Pudu yang lama.
"Saya baru selesai makan dan sedang memandu apabila kami melihat ramai orang ketika lalu berhampiran Berjaya Times Square.
"Kereta saya tidak mempunyai 'central locking', jadi seseorang daripada kumpulan orang ramai itu membuka pintu saya dan bertanya jika saya adalah berbangsa Cina.
"Saya tidak menjawab kerana fikiran saya kosong. Mereka bertanya kepada saya di mana saya tinggal. Saya memberitahu saya tinggal di Ampang dan selepas itu dia terus menumbuk saya," katanya.
"Orang ramai telah menyerang kami dengan papan, kunci motosikal, tukul dan topi keledar dan telah memecahkan tingkap kereta dan melompat-lompat atas kereta saya.
"Telefon bimbit saya dan dompet saya telah dirompak apabila kami diserang," kata Lim sambil menambah kejadian berlaku selama kira-kira 10 minit sehingga polis tiba.
Katanya, kira-kira lima orang telah menariknya keluar dari kereta dan dia diheret di atas jalan raya sejauh beberapa meter sebelum polis tiba dan melindunginya daripada terus diserang.
"Seluruh muka, tangan dan lengan salah seorang kawan saya berlumuran darah. Dia telah ditendang di kepala oleh seorang lelaki berbadan besar dan memerlukan pembedahan di kepala dan badan tetapi dia kini dalam keadaan sedar dan tiada tulang patah. Mereka melayan kami seperti binatang," kata Lim.
Tambahnya, akibat berita serangan itu telah menjadi viral, syarikat insurans telah menafikan perlindungan untuk kerosakan yang dialami.
Namun katanya, dia tidak menyimpan dendam terhadap penyerang itu walaupun telah dirompak dan dipukul.
"Ramai orang bertanya kepada saya mengapa saya tidak mahu membalas dendam. Ia kerana saya ada ramai kawan Melayu. Saya tidak mahu menjadi rasis.
"Kita dilahirkan di Malaysia. Tidak ada gunanya melawan balik. Tetapi saya berharap tidak akan ada lagi kejadian seperti ini. Tidak ada gunanya. Kita adalah rakyat Malaysia," katanya.
Tengku Zulpuri Shah berkata serangan ke atas Lim perlu dikutuk.
"Kita semua menjalani kehidupan di sini. Tidak kira apa bangsa dan agama sekali pun. Sebagai seorang Melayu dan Islam, saya rasa malu mendengar cerita ini.
"Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia dan golongan belia perlu berada di masjid atau tempat-tempat lain yang baik, bukan pukul orang di luar sana," kata Tengku Zulpuri.
"Mengapa perkara ini berlaku kepada Malaysia? Kita semua rakyat Malaysia, tidak kira bangsa atau agama," katanya.
Sumber: mStar