Seramai 2,799 Kakitangan MAS Yang Diberhentikan Telah Mendaftar Pada CDC

Gambar Hiasan
PETALING JAYA – Seramai 2,799 kakitangan Malaysia Airlines (MAS) yang diberhentikan pada Jun lepas telah mendaftar dengan Pusat Pembangunan Korporat (CDC) sehingga Isnin.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata CDC mempunyai tenaga kerja terlatih untuk memberi panduan dan sokongan kepada kakitangan MAS yang telah ditamatkan kerja di bawah pelaksanaan Pelan Pemulihan MAS.

“Daripada jumlah berdaftar itu, sebanyak 81 peratus memilih pekerjaan baharu manakala 18 peratus lagi memilih untuk bekerja sendiri dan satu peratus lagi memilih untuk bersara,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke CDC di sini, Selasa.

Menerusi penganjuran karnival kerjaya oleh CDC pada Jun dan Julai ini, beliau berkata kira-kira 60 syarikat tempatan dan antarabangsa dari pelbagai bidang telah menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka.

CDC, yang memulakan operasinya pada 1 Jun lepas, ditubuhkan oleh Khazanah Nasional Berhad bagi mengadakan latihan semula, mewujudkan pekerjaan dan penempatan semula untuk kakitangan MAS yang diberhentikan itu.

Pelan Pemulihan MAS yang diluluskan Kabinet pada 27 Ogos 2014 dijangka mampu membantu MAS mencapai tahap keuntungan mampan dalam tempoh tiga tahun selepas penyenaraiannya menjelang tahun 2017.

Pelan Pemulihan MAS diluluskan Kabinet pada 27 Ogos 2014. Pada Mac lepas, Syarikat Penerbangan Malaysia mengumumkan bahawa ia telah ditukar nama menjadi Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang berkuat kuasa pada 1 Julai lepas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CDC Shahryn Azmi berkata pada masa ini, pihaknya hanya memberi tumpuan kepada pendaftaran kakitangan MAS yang diberhentikan itu.

“Kami ingin memberi peluang kepada kakitangan MAS untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik kerana kebanyakan mereka mempunyai kepakaran dan pengalaman meluas dalam bidang masing-masing.

“Sebanyak 50 peratus daripada 2,799 yang mendaftar terdiri daripada bahagian penyelenggaran dan kejuruteraan,” katanya.

Antara syarikat tempatan dan antarabangsa yang menawarkan pekerjaan kepada mereka ialah syarikat penerbangan, perhotelan dan kejuruteraan.

Dalam perkembangan lain, Riot berkata seramai 11,023 kakitangan daripada 278 majikan dalam pelbagai sektor telah diberhentikan atas pelbagai sebab dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Kajian sumber manusia mendapati seseorang individu menukar kerjaya sebanyak tiga kali sepanjang hidup mereka.

“Justeru itu, pemberhentian lebih 10,000 kakitangan adalah sesuatu yang normal jika dilihat menerusi perspektif berbeza,” katanya. – BERNAMA