Selepas lebih setahun setengah kehilangan misteri penerbangan MAS MH370 berlaku, satu penemuan serpihan di sebuah pulau milik Perancis di Lautan Hindi, la Reunion semalam mengemparkan dunia apabila dipercayai milik kapal terbang berkenaan.
Menurut laporan Associated Press yang memetik kenyataan rasmi seorang pegawai Amerika Syarikat, wujud “tahap keyakinan yang sangat tinggi” bahawa serpihan bahagian sayap yang ditemui adalah dari model Boeing 777 yakni model sama dengan kapal terbang MH370.
Menurut pegawai berkenaan, para penyiasat termasuk keselamatan udara Boeing mengenal pasti serpihan itu sebagai komponen yang dikenali sebagai “flaperon” yang dipasang pada bucu sayap Boeing 777.
Serpihan berkenaan ditemui pekerja pembersih pantai pulau berkenaan. la Reunion terletak berhampiran dengan Madagascar (rujuk peta di bawah).
Dalam reaksi segera Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu media di New York, pasukan penyiasat Malaysia kini dalam perjalanan menuju ke la Reunion untuk mengkaji serpihan berkenaan.
“Apa sahaja serpihan yang ditemui perlu disiasat terlebih dahulu sebelum kita boleh mengesahkan ia milik MH370,” katanya.
Tiong Lai berada di New York menyertai satu sesi berlainan melibatkan isu penerbangan MH17 yang ditembak di ruang udara Ukraine tahun lalu.
Namun, satu perkara yang menjadi tanda tanya ialah la Reunion terletak sangat jauh pada laluan yang didakwa digunakan bagi melarikan MH370.
Wujud kapal terbang lain juga yang pernah terhempas lebih hampir dengan pulau berkenaan menurut beberapa pakar.
Penerbangan MH370 dengan 239 penumpang dan anak kapal hilang ketika perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada March 2014.
Pada masa ini, kehilangan tersebut ditakrif sebagai misteri paling besar sepanjang zaman dalam sejarah industri penerbangan.
Kerajaan Malaysia sudah mengambil pendirian rasmi kehilangan MH370 adalah disebabkan kemalangan dan semua yang berada dalam kapal berkenaan sebagai terkorban.