Datuk Seri Shahidan Kassim |
WANG KELIAN – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mahu Jabatan Kastam mengambil tindakan tegas membanteras penyeludupan barang melalui Wang Kelian.
Katanya, selagi perbuatan salah itu tidak dibendung adalah sukar pergerakan bebas (free flow) di sempadan itu pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad yang dibatalkan mulai 1 April lepas ditarik balik.
“Hari ini (dalam perjalanan ke Wang Kelian) saya singgah di tapak parking yang dikhaskan untuk bas kerana melihat berpuluh lori memunggah barang tetapi dihalau keluar oleh pemandu lori rakyat Thailand.
“Saya kata ini Malaysia, awak tiada hak nak halau saya. Apabila saya tanya barang apa, mereka kata barang runcit dan kad poker.
“Apa sebab apa eksport, barang runcit di Malaysia mahal di Thailand lebih murah. Mereka diam tidak menjawab.
“Kilang mencetak kad poker di negara itu juga banyak. Harap kastam siasat perkara ini,” kata Shahidan.
Beliau ditemui pada jamuan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Imigresen Perlis Pos Wang Kelian, hari ini.
Shahidan berkata beliau menyokong tindakan kerajaan negeri memohon kebebasan bergerak itu dibuka semula untuk memulihkan ekonomi peniaga di sempadan namun kastam perlu menyelesaikan masalah penyeludupan yang berleluasa.
Tinjauan Bernama mendapati hampir 90 peratus dari hampir 200 lot kedai di Wang Kelian telah menutup perniagaan berikutan kejatuhan jumlah pengunjung.
Anggota Exco yang bertanggungjawab mengenai hubungan sempadan Perlis/Thailand, Ahmad Bakri Ali yang ditemui pada majlis itu berkata rakyat Thai yang biasanya mengunjungi Wang Kelian kini mengalih tumpuan ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Katanya, sebelum 1 April lepas jumlah rakyat Thailand yang berbelanja di Wang Kelian mencecah lebih 50,000 sebulan tetapi kini beberapa ratus orang sahaja yang datang melawat. – BERNAMA