Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. |
KUANTAN – Siaran televisyen digital atau Digital Terestrial Television
(DTT) dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara akhir
tahun depan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad
Shabery Cheek.
Beliau berkata sebagai permulaan MYTV Broadcasting sdn. Bhd. (MYTV),
selaku pihak bertangungjawab membangun dan menguruskan infrastruktur
itu, telah memasang alat pemancar atau ‘transmitter‘ untuk
siaran ujian di tiga tempat di pantai timur iaitu Bukit Besar, Kuala
Terengganu; Bukit Bakar, Kelantan dan Bukit Pelindung di sini.
“Kami menjangkakan pada Januari depan, semua daerah di Pantai Timur ini mula menerima siaran daripada MYTV.
“Pemasangan set dekoder di rumah-rumah yang terpilih telah pun
dimulakan pada 17 Mei lalu dan ini merupakan sebahagian fasa ujian MYTV
di daerah-daerah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pemasangan
set dekoder siaran ujian MYTV di kediaman seorang daripada peserta
siaran ujian berkenaan iaitu A. Rahman Abu Bakar di Kampung Rumbia di
Beserah, di sini hari ini.
Ahmad Shabery berkata kempen siaran ujian MYTV akan diperluas ke
Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat sebelum ke utara dan selatan
Semenanjung; seterusnya berakhir di Lembah Klang menjelang hujung tahun
depan.
Untuk peringkat percubaan ini, katanya sebanyak dua juta set dekoder
percuma akan diedarkan di seluruh negara untuk diberikan kepada isi
rumah yang terpilih.
Antara kriteria yang ditetapkan untuk peserta menerima siaran ujian
MYTV ini mereka mestilah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),
e-Kasih, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta tidak melanggan
perkhidmatan tv berbayar, katanya.
Beliau berkata set dekoder yang diedar itu hanya bersifat sementara
dan akan digantikan dengan dekoder sebenar MYTV secara percuma setelah
perkhidamatan siaran tv digital dilaksanakan sepenuhnya pada awal tahun
depan.
“Berdasarkan tinjauan tadi, saya amat berpuas hati kerana walaupun kualiti siaran adalah ‘standard definition‘, namun ia hampir menyamai ‘high definition‘ dan ini akan menjadi asas kepada siaran digital,” katanya.
Ahmad Shabery berkata buat masa kini sebanyak 40 penyiar telah
menunjukkan minat terhadap platform yang disediakan oleh MYTV ini yang
akan membolehkan pengguna menerima lebih banyak siaran percuma.
“Namun pengguna perlu faham tidak semua rancangan yang ada dalam siaran televisyen berbayar seperti Astro dan HyppTV ada di dalam siaran DTT kerana kami mempunyai pakej yang berbeza,” katanya.
Kempen siaran percubaan MYTV ini membolehkan isi rumah yang terpilih menikmati semua saluran sedia ada seperti TV1, TV2, TV3, ntv7, 8TV, TV9, dan TV AlHijrah dalam kualiti transmisi digital. – BERNAMA