Sidang Media: Muhyiddin Tetap Setia Bersama Najib Dalam UMNO, BN

Gambar sumber: The Malaysian Insider
Setelah hampir 24 jam selepas digugurkan daripada barisan kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan satu sidang media di kediamannya di Bukit Damansara, hari ini.

Bermula pada kira-kira jam 11.45 pagi tadi, Muhyiddin tampil tenang bersama isterinya, Datin Sri Norainee Abd. Rahman, di hadapan puluhan wakil-wakil media yang menunggu beliau menyuarakan pendiriannya setelah digugurkan dari jawatan kedua tertinggi negara.

Bersoal jawab dalam sidang media bagi tempoh lebih setengah jam, Muhyiddin menjelaskan bahawa beliau seikhlasnya akur menerima dengan baik tindakan menggugurkan namanya dari barisan kabinet kerana ia jelas tertakluk kepada kuasa prerogatif Mohd Najib sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan bahawa beliau akan memastikan tugasnya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN sama sekali tidak terjejas.

Malah beliau turut menegaskan bahawa dirinya langsung tidak mempunyai masalah untuk terus bekerjasama dengan Najib atas hasrat untuk memperkukuhkan UMNO.

Selain itu, Muhyiddin juga menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan wujud persamaan kritikannya terhadap Perdana Menteri yang dikatakan senada dengan kritikan dilemparkan mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung syarikat pelaburan 1MDB.

Tegas Muhyiddin, platform yang digunakannya adalah sama sekali tidak sama dengan Tun Dr Mahathir kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu menjelaskan bahawa niatnya mengkritik adalah ikhlas demi kebaikan negara, tidak seperti mantan Perdana Menteri berkenaan.

Menyentuh tentang kedatangan Menteri Besar Kedah yang juga merupakan anak kepada Tun Dr Mahathir, Dato’ Seri Mukhriz yang datang melawat kediamannya semalam, Muhyiddin menjelasakan bahawa ia hanyalah lawatan biasa yang tidak melibatkan apa-apa perancangan tersembunyi.

Mengakhiri sidang media beliau, Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada individu yang terus memberi sokongan dan menyifatkan situasi sekarang mampu memberikan semangat yang lebih kuat baginya untuk meneruskan tugas dalam UMNO dan BN. -Kedahnews.com