Gambar Hiasan |
CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang giat memantau pengguna media sosial yang menyebar kandungan bersifat menghasut dan provokasi terhadap hubungan kaum dan ketenteraman awam bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin menegaskan suruhanjaya itu dengan kerjasama penuh pihak pemberi perkhidmatan komunikasi akan mengenal pasti pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab.
"Disamping itu, mereka juga diminta untuk menyimpan bukti-bukti yang boleh digunakan untuk pendakwaan di mahkamah nanti," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, SKMM akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan maklumat dan berita palsu yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di samping menyalurkan bantuan teknikal kepada siasatan polis.
Katanya, SKMM juga turut meminta pihak pemberi perkhidmatan media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk menyekat akses mana-mana video dan gambar yang dimuat naik dengan tujuan untuk mengeruhkan lagi keadaan.
SKMM turut menggesa orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai mana-mana pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab untuk memajukan maklumat tersebut kepada SKMM untuk diambil tindakan, katanya. - Bernama