Datuk Jailani Johari |
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaksanakan sekatan ke atas akses 301 laman web perjudian haram bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.
Ia adalah sebahagian daripada 940 permohonan untuk menyekat akses perjudian atas talian yang dikemukakan pihak berkuasa seperti polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), katanya.
“Kementerian dan SKMM tidak akan berdiam diri, malah akan bertindak menapis serta menyekat laman web judi atau apa sahaja laman web yang tidak bersesuaian demi membanteras aktiviti yang membimbangkan masyarakat itu,” katanya.
Beliau mengulas laporan taktik terkini operator mesin judi haram yang menawarkan aktiviti perjudian atas talian atau melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada orang ramai berikutan operasi besar-besaran dilakukan pihak berkuasa ke atas premis judi serta pusat siber yang menjalankan kegiatan haram itu.
Bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan pejabat baharu Mutiara Teknologi (M) Sdn Bhd di Bandar Baru Bangi, dekat sini hari ini, Jailani berkata SKMM juga telah menyekat 325 akses laman web yang menawarkan aktiviti perjudian daripada 538 permohonan yang dibuat Polis, KPDNKK dan Jakim tahun lepas.
Beliau berkata sekatan ke atas laman web yang dikenal pasti aktif mempromosi serta menjalankan aktiviti judi haram atas talian itu dibuat mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
Jailani turut menjelaskan bahawa pautan talian yang dilakukan pengusaha perjudian haram adalah untuk mempromosikan pusat perjudian masing-masing dan SKMM hanya boleh membantu dari aspek teknikal seperti menyekat akses manakala tindakan selebihnya berada di bawah bidang kuasa polis dan KPDNKK.
Mengenai tindakan usaha menyekat penyebaran aktiviti haram itu melalui SMS, beliau berkata SKMM telah diarahkan memanggil semua penyedia perkhidmatan telco untuk membincangkan cara mengatasi masalah tersebut.
“Tetapi kita kena ingat, mereka ini cukup licik dan biasanya menggunakan SMS yang dihantar menggunakan alatan yang diseludup dari luar yang memungkinkan mereka sukar untuk dikesan dan dihalang,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya Jailani memuji komitmen Mutiara Teknologi kerana berjaya meningkatkan tahap keberkesanan pengoperasian MERS 999 sejak dilantik oleh TM Malaysia pada 2007 bagi memulakan perkhidmatan menyatukan nombor-nombor kecemasan di negara ini menjadi satu nombor yang seragam dan mudah dicapai, iaitu 999.
Sejak diperkenalkan, MERS 999 telah berjaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan respons agensi-agensi penyelamat seperti polis dan bomba terhadap panggilan kecemasan di mana setiap panggilan akan dijawab oleh pegawai kecemasan profesional dalam tempoh 10 saat sahaja, katanya. – BERNAMA