KUALA PILAH – Skop dan peranan koperasi perlu diperluaskan bagi merangkumi aktiviti seperti pengeluaran dan pengedaran, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.
Beliau berkata sebagai contoh, penggabungan koperasi kecil sebagai pusat pengedaran (DC) bagi barang pertanian akan membolehkan hasil pertanian oleh petani berskala kecil sampai terus ke pasaran tanpa penglibatan orang tengah.
“Kaedah ini juga dapat membantu meningkatkan pendapatan petani kecil dan memastikan harga yang ditawarkan adalah berpatutan.
“Sektor Koperasi boleh memainkan peranan penting melalui transformasi sebagai satu entiti koperasi nasional yang berperanan dalam membantu menangani isu kos sara hidup rakyat,” katanya di sini, Isnin.
Menurut beliau, gerakan koperasi mempunyai kekuatan kerana sehingga kini terdapat sebanyak 11,871 koperasi di seluruh negara dengan rangkaian dan kepelbagaian perniagaan yang menyeluruh.
Di samping itu, Hasan berkata terdapat sebanyak lapan juta anggota dengan aset bernilai RM113 bilion dengan modal sebanyak RM13 bilion.
“Oleh itu, usaha untuk memperkasa rangkaian pemasaran melalui penguasaan rantaian nilai koperasi akan dilakukan dengan meningkatkan bilangan DC, Sub-DC, Kedai COOP, pasar raya COOP, francais dan Virtual Mall.
“Di samping itu, usaha juga akan dilakukan untuk memperbanyakkan pusat-pusat pengumpulan pelbagai hasil pengeluaran koperasi dan anggota koperasi,” katanya.
Hasan berkata langkah untuk memberi keistimewaan khas kepada koperasi untuk mendapatkan kuota bekalan barangan terkawal juga akan dilakukan serta menggalakkan penubuhan koperasi profesional berasaskan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang boleh menawarkan perkhidmatan dengan kadar kompetitif.
Sementara itu, katanya kerajaan amat prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup.
Oleh itu, katanya Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus mengadakan pertemuan dengan persatuan pengguna dan perniagaan (pengilang, pembekal, pemborong dan peruncit) serta badan bukan kerajaan berkenaan untuk memahami dan menangani isu-isu berkaitan dengan pembekalan barang-barang dan perkhidmatan rantaian bekalan, persaingan, penguatkuasaan dan faktor-faktor lain yang menentukan harga barangan.
Katanya kerajaan akan memastikan harga barangan dan perkhidmatan pada kadar yang berpatutan di samping mengawasi agar tidak berlaku manipulasi harga barangan dan perkhidmatan oleh para peniaga. – BERNAMA