Suami Isteri Maut Diserang Babi Hutan Di Johor

Gambar Hiasan: Babi Hutan
ALOR SETAR - Sepasang suami isteri dilaporkan maut akibat diserang seekor babi hutan di kebun getah di Kampung Kuala Paya, Segamat, Johor tengah semalam.

Mayat penoreh getah yang dikenali sebagai, Loo See Siang, 66, dan isteri Liau Mei Lan, 65, ditemui mati dengan kesan kecederaan di seluruh badan mereka oleh orang ramai kira-kira 12 tengah hari.

Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Kamil Sukarmi pihaknya tanpa lengah telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik saja menerima maklumat mengenai insiden maut tersebut.

Kata beliau yang dipetik dari Harian Metro, berdasarkan kesan kecederaan pada seluruh badan mangsa pihaknya yakin mereka adalah mangsa serangan babi hutan.

"Haiwan liar itu berjaya ditembak mati ketika cuba menyerang anggota polis yang tiba untuk melakukan siasatan di tempat kejadian.

"Berdasarkan kesan darah kering pada haiwan itu, kita yakin ia adalah milik kedua-dua mangsa," katanya dan menjelaskan bahawa kes berkenaan disiasat sebagai mati mengejut. -Kedahnews.com