Al-Quran itu benarlah penawar bagi mereka yang memahaminya... |
Malam diturunkan al-Quran dimuliakan Allah SWT menyamai dengan 1,000 bulan sebagaimana dalam surah al-Qadr ayat 1-3 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami turunkan al-Quran pada malam Lailatulqadar. Apakah kamu tahu apa itu malam Lailatulqadar?Dan Allah SWT juga berfirman;
"Lailat al-Qadr lebih baik daripada 1,000 bulan. Al-Quran adalah kitab terbaik berbanding dengan kitab samawi yang lain kerana Allah SWT telah membuat pengakuan bahawa Ia sendiri menjaganya. Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya." (al-Hijr: 9)Kenyataan ini amat benar dan semua orang boleh melihat betapa al-Quran sejak diturunkan tidak boleh diubah, sama ada kurangkan ayat atau penambahan dengan kalimah yang lain. Jika perkara itu berlaku sudah tentu akan ada ulama Islam yang bangkit membetulkannya kembali.
Oleh itu, apa yang ada dalam mushaf pada hari ini adalah ayat-ayat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.
Daya tarik al-Quran begitu hebat. Allah SWT nyatakan dalam surah al-Hasyr ayat ke-21 yang bermaksud:
"Jika Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah terbelah kerana takut kepada Allah SWT,"Melihat kepada tafsirannya ialah jika gunung diberikan akal ia akan menjadi khusyuk dengan arahan yang terdapat dalam kandungan al-Quran dan merasa takut jika ingkar dengan perintah Allah SWT dengan azab seksa yang tersebut dalam al-Quran sehingga jika begitulah kesan al-Quran kepada gunung, iaitu makhluk Allah yang begitu gagah dan tegak memasak bumi boleh pecah dan musnah bagaimana dengan manusia yang sifatnya lemah dan daif berbanding gunung.
Sejarah banyak membuktikan al-Quran telah masuk ke dalam jiwa dan merubah kehidupan manusia. Sebagai contoh apa yang berlaku kepada Umar Ibnu al-Khattab ra.
Pada mulanya beliau mencari Nabi Muhammad SAW untuk membunuhnya tetapi setelah diberitahu kepadanya bahawa adiknya Fatimah dan suami telah memeluk Islam dengan lantas beliau mendapatkannya.
Selepas berlaku perbalahan, terjatuh helaian Quran daripada tangan Fatimah, Ibnu al-Khattab ra.
Adiknya menghalang Umar memegang helaian tersebut kerana belum beragama Islam. Selepas berwuduk, Umar membacanya iaitu permulaan surah Taha sehingga lima ayat selepasnya dan berkata ini bukan kalam manusia.
Niat Umar ra berubah daripada hendak membunuh Nabi SAW kepada beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Lihatlah betapa al-Quran masuk ke dalam jiwa Umar dan merubah seluruh kehidupannya daripada cara jahiliah kepada kehidupan berlandaskan al-Quran.
Kisah Raja Najasyi yang beragama nasara bersama penditanya meminta Jaafar Ibnu Abi Talib ra membaca ayat al-Quran. Lantas Jaafar membaca permulaan surah Maryam maka bercucuranlah air mata.
Peristiwa tersebut dirakam dalam surah al-Maidah ayat 83 bermaksud:
"Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan mereka ketahui melalui kitab mereka daripada kebenaran al-Quran sambil mereka berkata wahai Tuhan kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan al-Quran) oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang yang menjadi saksi yang mengakui kebenaran Nabi."Secara umumnya ramai menerima bahawa suara manusia boleh memberi kesan kepada pendengarnya. Jika suara bernada sedih maka sedihlah pendengarnya. Jika suara bernada gembira maka gembiralah si pendengarnya. Bahasa Arab mempunyai tarikan tersendiri.
Penyembuh jiwa
Satu penyelidikan menyatakan bahawa jika bahasa Arab dialunkan dalam bentuk lagu boleh memberi kesan kepada jiwa ke tahap 30 peratus. Tetapi al-Quran jika dibaca boleh memberi kesan sehingga 70 peratus.
Kajian ini menunjukkan bahawa al-Quran memberi kesan kepada jiwa pendengar dan pembacanya. Pernah berlaku seorang pendakwah Islam membaca beberapa ayat bahasa Arab di hadapan seorang paderi yang tidak mengetahui bahasa al-Quran.
Selepas itu, pendakwah Islam membaca permulaan surah Maryam. Selesai membaca, pendakwah bertanya kepada paderi apa pendapatnya tentang dua potongan ayat yang dibaca.
Amat mengejutkan, paderi berkata adapun bacaan kamu yang pertama (karangan bahasa Arab) ia adalah kalam kamu, tetapi bacaan kamu yang kedua ia bukan kalam kamu kerana hati ku merasa bergetar apabila mendengarnya.
Itulah al-Quran yang Allah SWT sebutkan namanya dengan pelbagai gelaran. Antara namanya ialah al-Kitab sebagai panduan kepada orang yang bertakwa, al-Furqan yang bezakan kebenaran daripada yang batil, al-Nur (cahaya) yang membimbing ke jalan yang lurus, disebut juga ia adalah roh.
Ia sebagaimana dalam ayat 52 surah al-Syura yang bermaksud:
"Dan demikianlah Kami wahikan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran sebagai Roh (yang menghidupkan hati). Ramai daripada kalangan cerdik pandai barat yang mengkaji al-Quran dan akhirnya mereka mengucap kalimah syahadah,"Perkara ini berlaku kepada Dr. Maurice Bukaile yang mengkaji Mumia Ramsis II. Pada mulanya beliau merasakan penemuaannya tentang kematian Ramsis II, iaitu lemas dalam laut adalah satu hasil yang hebat.
Namun pembantunya memaklumkan bahawa umat Islam mengetahui sebab kematian Ramsis II sejak 1,000 tahun lebih dahulu, berdasar kepada ayat 90, 91 dan 92 surah Yunus. Akhirnya beliau mengakui al-Quran menjadi penawar kepada orang beriman.
Iman mereka bertambah bila dibaca al-Quran Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah SWT (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah.
Akhirnya, sama-samalah kita merebut peluang di bulan Ramadan yang mulia ini membaca al-Quran, memahami dan tadabur maksud kandungannya. Semoga al-Quran terus bertakhta di hati kita dan seterusnya menjadi peneman kita di alam kubur dan pemberi syafaat kepada kita di Hari Kemudian.
Sumber: Utusan