Tahun Melawat Kedah 2016: Penginapan Di Alor Setar Masih Tak Cukup

ALOR SETAR - Bandaraya Alor Setar masih berdepan masalah penginapan tidak mencukupi bagi menampung kemasukan pelancong asing sempena Tahun Melawat Kedah 2016.

Exco Pelancongan, Datuk Mohd Rawi berkata, setakat ini, Kedah hanya mampu menawarkan 2,000 bilik hotel kepada pelancong pada satu-satu masa.

“Kita mengalu-alukan pelabur yang berminat membina hotel di bandaraya, terutama selepas kempen ini berakhir, sebagai pelaburan jangka panjang. Kita tidak boleh tunggu kebanjiran pelancong, baru cadang bina hotel sebaliknya kita perlu sediakan kemudahan terlebih dahulu untuk tarik pelancong,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak sempat menambah penginapan tambahan atau pembinaan hotel baru menjelang tahun depan sebaliknya perkara itu akan diperhalusi pada masa akan datang.

Mohd Rawi berkata, setelah kemudahan penginapan mencukupi, barulah mudah untuk merangka pakej bersepadu yang menarik dan berpatutan.

“Persiapan menyambut ketibaan Tahun Melawat Kedah 2016 berjalan lancar walaupun berdepan beberapa kekangan. Selain ketidakcukupan bilik hotel, kita akan menaik taraf tandas dan kemudahan asas di tempat-tempat yang dikunjungi pelancong, termasuk menambah keceriaan pelancongan dalam bandar,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga memohon Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mempercepatkan permohonan dana khas membina Muzium Sungai Batu sebagai produk pelancongan baharu di Kedah.

“Sungai Batu kaya dengan khazanah sejarah, di mana terdapat pusat pentadbiran lengkap pada 2,800 tahun lampau, dan wajar diketengahkan untuk generasi akan datang. Kita akan mohon projek ini diberi keutamaan,” katanya. 

Mohd Rawi yakin kempen Tahun Melawat Kedah ini akan mencapai sasaran melalui kerjasama semua pihak termasuk promosi dan pendekatan baru yang diperkenalkan.

Dalam perkembangan sama, Mohd Rawi berkata, bandaraya Alor Setar kini dimeriahkan dengan kehadiran 4,000 pelancong dari China sejak 5 Julai lalu.

“Mereka adalah kumpulan pelancong dari syarikat MLM, Perfect China yang dibawa masuk melalui agensi pelancongan Sunflower. Mereka bermalam di Pulau Pinang dan kunjungan sehari itu antaranya melawat tempat bersejarah seperti Balai Besar, Muzium Negeri dan Masjid Zahir,” katanya.

Menurutnya, 100 wakil media massa dari China turut serta dalam delegasi itu.

“Laporan berita dalam akhbar di negara itu juga antara bentuk promosi dalam usaha memperkenalkan Kedah,” katanya.

Sumber: Sinar Harian