Setiausaha Politik Abdul Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar |
Setiausaha Politik Abdul Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dipetik dari Harakahdaily menegaskan bahawa tajuk laporan yang disiarkan portal berkenaan sama sekali tidak membayangkan maksud sebenarnya yang cuba disampaikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya tajuk jahat sensasi dicipta Malaysiakini; Like Anwar, there must be four witnesses for Najib.
"Apa yang disebut oleh Presiden PAS ialah “Pendirian kita pendirian Islam. kalau tuduhan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kena ada empat saksi, sama juga dengan tuntutan ke atas Najib, kena ada saksi… Saksi yang adil," tegasnya.
Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa tajuk yang sedemikian menjelaskan bahawa portal berkenaan tidak faham dengan maksud kenyataan Presiden PAS itu dan mendakwa portal tersebut mempunyai agenda jahat di sebaliknya.
"Tajuk sedemikian yang berbeza maksudnya dengan isi sebenar Presiden PAS itu dengan jelas menunjukan sama ada Malaysiakini tidak faham, atau mempunyai agenda mereka yang tersembunyi.
"Perbuatan sedemikian adalah amat dikesali dan meruntuhkan kemurnian pemberitaan yang telus dan benar," tegas Setiausaha Politik Abdul Hadi itu.
Portal Malaysiakini sebelum ini sering dilihat memanipulasi laporan berita khususnya melibatkan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN), dan kini PAS mula menjadi "mangsa"nya setelah parti itu "diceraikan" DAP sejak berakhirnya muktamar PAS lalu.
Selain disifatkan pro-DAP dan PKR, desas-desus mengatakan bahawa beberapa wartawan dan pengarang portal berkenaan adalah bukan berbangsa Melayu dan kurang mahir dalam memahami kenyataan berbahasa Melayu, sekaligus menyebabkan laporan yang disiarkan tidak tepat.
Bagaimanapun, portal yang menongkah arus itu tetap menjadi pilihan rakyat Malaysia apabila ia menjadi "sumber rujukan No.1" para pembaca secara online di negara ini biarpun dikatakan tidak menyedari tentang minda mereka yang didoktrin ke arah sumber negatif. - Kedahnews.com