Tajul Urus Nasihat Orang Ramai Guna Pengangkutan Awam Balik Raya

Tajul (dua, kiri) mengagihkan minyak pelincir kepada pengguna jalan raya.
ALOR SETAR - Orang ramai disaran menggunakan pengangkutan awam sebagai alternatif untuk balik kampung bagi mengurangkan kesesakan sepanjang musim perayaan ini.

Exco Pengangkutan Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, ia juga dapat mengurangkan bilangan kenderaan atas jalan raya sekaligus meminimumkan risiko kemalangan.

Menurutnya, bilangan kenderaan yang semakin meningkat menjadi faktor berlaku kemalangan selain permukaan jalan raya, persekitaran dan paling utama sikap pengguna yang tidak berhemah.

"Sekarang ini terdapat pelbagai kemudahan disediakan seperti bas ekspres, kapal terbang tetapi yang terbaharu perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) bagi perjalanan Padang Besar, Perlis ke Kuala Lumpur.

"Tempoh masa perjalanan juga lebih pendek iaitu kira-kira empat jam setengah dan terdapat dua stesen perhentian di Kedah iaitu Alor Setar dan Sungai Petani," katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kedah, di sini, semalam.

Beliau berkata, penurunan kematian sebanyak 36 kes iaitu tiga peratus pada tahun 2014 berbanding 2013 berdasarkan statistik Op Selamat tidak memberi gambaran kesedaran kalangan pengguna terhadap pematuhan keselamatan jalan raya meningkat.

"Jika boleh kita mahu kadar itu dikurangkan kepada 20 hingga 30 peratus. Ini boleh dicapai jika pengguna jalan raya turut berubah dengan menjadi pemandu berhemah," katanya.

Sumber: Sinar Harian