MERBOK – Setiap kali hujan, rumah yang didiami seorang warga emas dari Kampung Batu Hampar, di sini pasti akan basah kerana bumbung bocor.
Malah Hatiah Hashim, 80, berkata, dia menetap di rumah usang yang dibina kira-kira 50 tahun lalu.
"Kalau hujan, habis semua kawasan bocor kecuali dapur di bahagian luar. Mujur sebahagian kecil ruang dapur masih elok, boleh dijadikan ruang tidur sekiranya bocor.
"Saya nak baiki rumah ni namun keluasan yang agak besar menyukarkan kerja membaik pulih, tambahan pula saya hanya tinggal berseorangan sahaja dan tak mampu nak buat kerja baik pulih," katanya ketika menerima kunjungan beberapa ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menceriakan sambutan Aidilfitri, baru-baru ini.
Menurutnya, dia tidak menyangka rumahnya menjadi tumpuan beberapa ahli Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Dewanita) Kedah.
"Sumbangan ternyata menggembirakannya sempena Aidilfitri apatah lagi tinggal keseorangan di rumah berkenaan setelah suami meninggal dunia beberapa tahun lalu.
“Walaupun tinggal keseorangan, ketiga-tiga anak sering menjenguk dan salah seorang pula tinggal bersebelahan,” katanya.
Hatiah berkata, sumbangan berupa makanan kering, beras, roti dan kek menceriakan hari raya dan mengurangkan beban dirinya yang kini tiada pendapatan.
Katanya, setiap kali hari raya dia akan menyiapkan tempahan putu kacang yang menjadi rutin tahunan, namun sejak kesihatan yang tidak menentu ditambah pula sakit lutut yang dihadapi, pembuatan putu kacang diserahkan kepada anak dan cucunya.
“Kedatangan ahli Dewanita sedikit sebanyak mengubat duka dan menceriakan Aidilfitri kali ini.
"Saya juga mengharapkan mana-mana pihak yang sudi membantu dapat membaiki kerosakan di rumah ini," katanya.
Sumber: Sinar Harian