Seorang wanita memberi alasan sedang menunggu suaminya mengerjakan sawah sambil berehat di bawah pokok mangga |
Ketua Operasi Penguatkuasa Agama Daerah Yan, Mohamad Tarmizi A Karim berkata, bertindak atas maklumat, empat anggota penguatkuasa agama dibantu empat kakitangan Majlis Daerah Yan melakukan serbuan ke beberapa lokasi dikenal pasti.
Menurutnya, beberapa peniaga yang menggunakan taktik menjual dalam rumah bagaimanapun tidak berjaya menyembunyikan perniagaan mereka apabila dihidu pasukan penguatkuasa.
“Lokasi pertama operasi yang bermula pada jam 11 pagi bertumpu ke sebuah rumah di Kampung Sedaka,” katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke dalam rumah terbabit mendapati beberapa lauk-pauk serta minuman sudah disediakan peniaga selain melekatkan tanda ‘Layan Diri’ di dinding yang ditujukan khas buat pelanggan.
Katanya, kedudukan rumah itu yang terselindung di sebalik kilang padi memudahkan operasi perniagaan dijalankan selain kemudahan kerusi dan meja di bawah pokok mangga disediakan dipercayai digunakan pelanggan.
“Seorang penjual wanita berumur 40-an didapati berada dalam premis ini selain dua pelanggan terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an.
“Bagaimanapun, lelaki terbabit yang terlebih dahulu menyedari kehadiran penguatkuasa melarikan diri ke arah sawah padi,” katanya.
Manakala, wanita itu yang sedang berehat di bawah pokok hanya sempat memberi alasan sedang menunggu kepulangan suaminya yang mengerjakan sawah padi.
Sementara itu, pasukan penguatkuasa meneruskan operasi ke Kampung Batu 18, Guar Chempedak di mana seorang wanita turut menjalankan perniagaan dari rumah.
Semasa didekati, didapati peniaga terbabit dilihat sedang membungkus makanan sebelum dijual kepada pelanggan.
“Operasi kemudian diteruskan ke sebuah rumah di Pekan Sungai Limau yang turut menyediakan makanan untuk kaki ponteng puasa.
“Antara alasan yang diberikan, mereka menerima tempahan dari tauke bukan Islam,” dakwanya.
Menurut Mohamad Tarmizi, kesemua mereka diberikan amaran lisan dan nasihat supaya tidak memulakan perniagaan sebelum jam 3 petang, sekiranya masih gagal, tindakan undang-undang boleh dikenakan.
Sekiranya didapati bersalah, hukuman boleh dikenakan mengikut Seksyen 14(a) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 2014 iaitu mana-mana individu yang menjual kepada orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau seumpamanya sepanjang Ramadan adalah menjadi kesalahan.
Hukuman denda tak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama boleh dikenakan.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya boleh dikenakan jika didapati bersalah.
Sumber: Sinar Harian