BESUT – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau
tidak akan mengkhianati rakyat dan negara dan akan berusaha mencari
jalan kebenaran dalam menangkis segala tuduhan dilemparkan terhadap
kepimpinannya.
Najib berkata, beliau berterima kasih terhadap sokongan diberikan
oleh pemimpin Umno dan juga oleh pemimpin tertinggi Pas, Mursyidul Am
Pas, Datuk Haron Din yang menjelaskan tuduhan dalam isu 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) itu sebagai tidak masuk akal.
“Saya tidak akan khianati rakyat. Saya akan cari (jalan) untuk
tegakkan kebenaran, bertenang, kebenaran akan terbukti,” katanya ketika
berucap pada majlis perasmian Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu
Besut dan Pelancaran program Al-Syahadah Al-Ulya Ulul Albab di sini,
hari ini.
Beliau menyeru rakyat untuk bertenang serta bersatu dalam menangkis
segala tuduhan terhadap kerajaan dan pemimpin negara walaupun mereka
berbeza dari segi fahaman politik.
Menurutnya untuk membina sebuah tamadun yang maju, rakyat sesebuah negara itu tidak seharusnya berpecah-belah.
Semalam, Najib berkata beliau akan membuat keputusan dalam masa
beberapa hari mengenai bentuk tindakan yang akan diambil berhubung
tuduhan kononnya kira-kira US$700 juta (RM2.6 bilion) daripada dana 1MDB
telah disalurkan ke dalam akaun peribadinya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata negara maju tidak akan
memperlekeh negara ini jika rakyat mempunyai kekuatan iman dan takwa
yang menjadi asas untuk membangunkan sebuah tamadun yang hebat lagi
berjaya.
Beliau berkata untuk melahirkan generasi ulul albab, negara bukan
sahaja perlukan generasi yang ada kekuatan fizikal malah juga kemampuan
minda.
“Kita bukan sahaja mesti ada kekuatan secara peribadi, kekuatan yang
terbit daripada keimanan dan ketakwaan mesti ada untuk melahir dan
membangun sebuah tamadun yang hebat lagi berjaya, barulah kita boleh
setanding dengan negara yang lebih maju daripada kita hari ini,”
katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul
Rahman berkata Barisan Nasional (BN) Terengganu akan bersama-sama
Perdana Menteri walau apa juga badai yang melanda dan sanggup menjadi
barisan hadapan untuk mempertahankan cabaran politik negara ketika ini.
“Ini tempat kita, negara kita, tidak semudah itu orang luar mahu
menghancurkan negara kita, apa yang berlaku adalah ujian untuk lebih
hebat pada masa hadapan … memfitnah, memaki, berkata pedas … itu tanda
ALLAH SWT sedang menguji kita, sabar dan terima dengan hati yang reda,”
katanya.
Pada majlis itu, Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut.
Terdapat tujuh buah sekolah Imtiaz di Terengganu iaitu masing-masing sebuah di tujuh daerah.
Penubuhan sekolah imtiaz adalah hasil idea bekas Menteri Besar
Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh yang kini Menteri Pendidikan Kedua
pada 31 Mei 1996, kesinambungan daripada program “Pintar Qur’an” yang
telah dilaksanakan di Besut.
Program Pengajian Al-Syahadah Al-Ulya Ulul Albab adalah satu program
untuk melahirkan ilmuan Islam yang berpengetahuan tinggi dan luas dalam
ilmu duniawi dan ukhrawi (Ulul Albab) dan ia merupakan program perintis
di Malaysia. – BERNAMA