Suspek kini ditahan reman selama tiga hari di lokap IPD Marang untuk siasatan lanjut. |
MARANG – Seorang pemuda berjaya diberkas penduduk selepas mencuri motosikal milik salah seorang jemaah yang sedang mengerjakan solat Subuh di Surau Kampung Tengah di Pulau Kerengga di sini, semalam.
Difahamkan, kejadian berlaku lebih kurang jam 6.15 pagi sebelum perbuatannya itu disedari penduduk.
Suspek yang dipercayai terkejut setelah disergah penduduk bergegas melarikan diri dengan motosikal yang dicurinya menghala ke arah Kuala Terengganu.
Berikutan itu, beberapa penduduk kampung mengejar suspek.
Turut difahamkan, setiba di satu lokasi berhadapan sebuah kedai runcit, suspek terbabit berjaya dihalang sebelum diberkas penduduk.
Malah suspek berusia 22 tahun itu turut mengalami kecederaan setelah dipercayai dibelasah sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Suspek kini ditahan reman di lokap IPD Marang selama tiga hari bermula semalam untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan. – Sinar Harian