Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. |
ALOR SETAR - Keenam-enam akaun bank yang dibekukan oleh Pasukan Penyiasat Khas berhubung dana USD700 juta ditegaskan tiada satu pun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
“Perintah pembekuan yang dikeluarkan pada 6 Julai 2015 tidak melibatkan mana-mana akaun yang dikatakan dipunyai oleh Perdana Menteri,” tegas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Ini mengesahkan laporan sebuah portal, myKMU.net pagi tadi yang menafikan bahawa akaun-akaun yang dipaparkan oleh Wall Street Journal kononnya milik Perdana Menteri di bawah kelolaan Nik Faisal Amir.
Portal berkenaan mendedahkan bahawa akaun-akaun yang dipaparkan oleh WSJ bukan milik Perdana Menteri, sekaligus menjadikan laporan Malaysiakini.com dan The Malaysian Insider yang mendakwa sumbernya memaklumkan tiga akaun tersebut adalah milik Mohd Najib adalah laporan yang tidak benar.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi mendakwa portal-portal tersebut melaporkan berita "spin" sebanyak 80 peratus, manakala Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut menyelar Malaysiakini.com mendakwa menggunakan "tajuk jahat" serta mempunyai agenda tersembunyi berkenaan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, semalam.
Bagaimanapun, Kedahnews.com dimaklumkan portal myKMU.net bahawa laporan pagi tadi terpaksa ditarik balik kerana bimbang akan mengganggu siasatan rapi yang sedang dijalankan oleh pasukan penyiasat bebas.
Peguam Negara turut menyatakan kebimbangannya tentang sindiran dan pengataan yang telah dibuat yang mengaitkan Peguam Negara dengan agenda politik tertentu.
Selain itu, Peguam Negara menekankan bahawa tujuan Pasukan Petugas Khas antara agensi itu ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini adalah untuk memastikan bahawa tidak timbul sebarang salah guna mekanisme siasatan.
Peguam Negara menekankan bahawa beliau tidak akan teragak-agak untuk mendakwa mana-mana orang yang didapati telah membocorkan maklumat sulit yang berkaitan siasatan kerana adalah merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah masing-masing seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan seksyen 145 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Berdasarkan akta-akta berkenaan, mana-mana pihak yang mempunyai akses kepada apa-apa dokumen atau maklumat yang berhubungan dengan hal ehwal atau akaun mana-mana pelanggan suatu institusi kewangan, termasuk institusi kewangan itu atau mana-mana orang yang ialah atau pernah menjadi pengarah, pegawai atau ejen institusi kewangan itu, untuk mendedahkan kepada seorang lain apa-apa dokumen atau maklumat yang berhubungan dengan hal ehwal atau akaun mana-mana pelanggan institusi kewangan itu.
Beliau juga menjelaskan bahawa adalah juga menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah seksyen 203A Kanun Keseksaan untuk mana-mana orang menzahirkan sebarang maklumat atau perkara yang telah diperolehinya pada melaksanakan tugasnya atau menjalankan fungsinya di bawah mana-mana undang-undang bertulis dan untuk mana-mana orang yang mempunyai apa-apa maklumat atau perkara yang dia tahu telah dizahirkan dengan melanggar undang-undang untuk selanjutnya menzahirkan maklumat atau perkara itu kepada mana-mana orang lain.