Tidak Nampak Lagi Yang Ikut Ismail Salleh Sertai GHB - PAS Kedah


SUNGAI PETANI - PAS dilihat seolah-olah berada dalam zon 'selesa' dengan situasi politik di Kedah yang lebih cenderung kepada politik Melayu.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, pelbagai isu timbul di peringkat pusat mengenai hubungan tegang antara parti itu dengan PKR serta DAP namun di peringkat negeri lawan utama mereka masih kepada BN dan Umno.

Beliau yakin segala isu yang tercetus itu tidak akan memberi impak terhadap penyokong untuk terus setia bersama PAS.

"Kita tidak mahu campur (keputusan) yang dibuat pimpinan peringkat pusat sebaliknya memberi lebih tumpuan kepada negeri," katanya kepada media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kedah di sini, hari ini.

Dianggarkan kira-kira 10,000 orang menghadiri majlis rumah terbuka itu.

Menurutnya, hubungan PAS Kedah dengan rakan pakatan masih berjalan dengan baik.

"Mungkin dari sudut organisasi dengan DAP ada hadnya tetapi hubungan baik barisan pembangkang secara peribadi masih berterusan.

"Ini bukan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dan difahamkan Pengerusi DAP Kedah turut hadir ke majlis hari raya anjuran PAS di Padang Terap," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dalam Islam memang ada bai'ah yang akan mengikat sesuatu perjanjian dengan pihak membuat perjanjian.

"PAS diyakini masih relevan kerana mempunyai asas prinsip parti yang kukuh untuk diperjuangkan," katanya.

Mengenai bekas Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kedah penggal lalu (2013-2015), Datuk Dr Ismail Salleh menerajui Harapan Baru di Kedah, Ahmad Fakhruddin berkata, beliau (Ismail) masih ahli PAS seumur hidup kerana parti baharu belum ditubuhkan.

"Setakat ini kita tidak nampak lagi (tokoh PAS Kedah) lain yang akan mengikut jejak langkahnya," katanya.

Sumber: Sinar Harian