TMJ Terima Hadiah Jet Peribadi Sempena Hari Keputeraan

Gambar kredit: Johor Southern Tigers
ALOR SETAR - Sempena Hari Keputeraan Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang ke-31 semalam, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilaporkan telah menerima sebuah jet peribadi sebagai hadiah daripada ayahandanya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail.

Beberapa keping foto yang dikongsikan di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers memaparkan TMJ dan ayahandanya bergambar berlatar belakangkan sebuah jet.

Malah menerusi foto-foto lain, kedua-dua figura kesayangan rakyat Johor itu dilihat bersiar-siar dalam pesawat tersebut.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua yang telah mengucapkan selamat dan mendoakan saya sempena hari keputeraan saya,” titah TMJ menerusi laman sosial berkenaan,

Sementara itu, TMJ turut bermurah hati mengagihkan lembu di setiap daerah di Johor untuk majlis berbuka puasa, serta menghulurkan sumbangan buat anak-anak yatim dan golongan kurang upaya.

“Saya telah membuat keputusan, setelah menerima pandangan dan nasihat DYMM Tuanku, untuk mengagihkan lembu di setiap daerah untuk berbuka puasa, selain menghulurkan sedekah kepada anak-anak yatim dan golongan yang kurang berkemampuan di seluruh Johor. 

“Demikianlah niat saya. Selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh muslimin dan muslimat,” titah baginda lagi.

Rakyat dilaporkan turut mengucapkan selamat hari lahir buat TMJ dan berkongsi kegembiraan baginda di ruang komen di laman berkenaan. -Kedahnews.com