Tolak Jawatan Pesuruhjaya PAS Kedah, Amiruddin Tetap Ketua Pembangkang

Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi
ALOR SETAR - Datuk Amiruddin Hamzah yang sebelum ini menolak lantikan PAS Pusat sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah diumumkan kekal sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah untuk penggal ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, wibawa dan pengalaman Amiruddin selama ini menjadi taruhan parti itu untuk berdepan kerajaan Barisan Nasional Negeri Kedah yang diketuai oleh Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

“Saf kepimpinan baharu PAS Negeri Kedah sedang menyusun penelitian dan merangka strategi terbaik ke arah usaha kembali memerintah Kerajaan Negeri Kedah yang antaranya akan dizahir dan dijayakan oleh Adun-adun PAS untuk merealisasikannya.

“Peranan Datuk Ir Amiruddin selaku Pengerusi Sekretariat adalah satu bentuk pembahagian dan penyusunan tugas ke arah menjayakan keputusan dan tindakan bersama yang bakal diambil,” kata Ahmad Fakhruddin yang dipetik dari Harakahdaily, baru-baru ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah itu turut menyangkal dakwaan pihak tertentu yang sebelum ini mengatakan kononnya Amiruddun tidak diberi sebarang peranan dalam kepimpinan PAS di negeri itu.

Amiruddin dan Mukhriz merupakan dua sahabat yang sudah lama berhubung rapat di antara satu sama lain khususnya di dalam aktiviti Persatuan Bekas Pelajar MRSM (Ansara) meskipun keduanya berbeza kem parti politik.

Ahmad Fakhruddin turut menegaskan bahawa PAS Negeri Kedah tetap komited untuk menawan Kedah sekali lagi pada Pilihanraya Umum Ke-14 yang akan datang sekaligus mengembalikan slogan "Kedah Sejahtera" ke Wisma Darulaman di negeri tersebut.

“Kami menyeru sokongan dan kebersamaan masyarakat rakyat negeri Kedah untuk menyertai PAS Negeri Kedah menjayakan hasrat murni ini demi mengembalikan “Kedah Sejahtera” ke persada pemerintahan,” tegas beliau. -Kedahnews.com