Tun M Meriah Dirai Di Majlis Hebat Sempena Ulangtahun Kelahiran Ke-90


Jangan salah faham, ini bukan malam gala anugerah academy award, namun kami difahamkan ia adalah sambutan majlis ulang tahun hari kelahiran ke-90, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang turut menjemput seorang ustaz bagi membaca doa.

Namun beberapa pengguna media sosial tempatan cuba mempertikaikan tindakan ustaz berkenaan yang sekadar membaca doa untuk sebelum makan, walhal semua hadirin beragama Islam tentu tahu perkara itu sejak usia kecil.

Walau apa pun, majlis hari jadi bekas perdana menteri ini memang hebat dan meriah berlangsung di salah sebuah ballroom di kompleks Berjaya Times Square di Kuala Lumpur anjuran syarikat konglomerat Kumpulan Berjaya.

Sesuai tema ‘A Night of Stars‘ sempena meraikan tarikh kelahiran negarawan pada 20 Julai lalu, parti besar-besaran itu dirasmikan oleh bilionaire yang juga Pengerusi Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan.

Pemilik kelab bola sepak Inggeris, Cardiff City dan firma perjudian popular Sports Toto itu turut menyampaikan ucapan alu-aluan bagi menghargai serta mengenang jasa sumbangan selama 22 tahun pemerintahan Dr. Mahathir.

Mantan ketua kerajaan itu segak bergaya dengan pakaian tuxedo suit ala watak hero siri filem perisikan British terkenal, James Bond; turut ditemani isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali anggun berbaju kurung Melayu.

Ramai netizen laman sosial sejak Jumaat mula berkongsi gambar-gambar kemeriahan sekitar parti hari jadi Dr. Mahathir sambil mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari lahir ke-90 kepada diri beliau.

Secara kebetulan, sehari sebelum itu ialah hari kelahiran ke-62 tahun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disambut agak sederhana dengan hanya dua kek dihidangkan di pejabat beliau di Putrajaya.

Najib dilaporkan turut menganjurkan majlis tahlil, bacaan Yasin, dan doa selamat di kediamannya pada malam Jumaat penuh berkat itu yang dihadiri ramai pelajar tahfiz dari institusi berhampiran. 


Sumber: Mynewshub.cc