Tun M Nafi Terlibat Konspirasi Pembangkang Jatuhkan Mohd Najib


ALOR SETAR - Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak takut kemungkinan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa susulan kritikan dan 'serangannya' terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Dr Mahathir berkata, beliau tidak terbabit sama sekali dengan taktik pihak pembangkang yang kini didakwa melancarkan konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri.  

"Ini bukan konspirasi (serangan dibuatnya terhadap Perdana Menteri), tetapi saya buat secara bersemuka dan saya fikir patutlah dia (Najib) berhenti (jadi Perdana Menteri).

Beliau turut merujuk pada pengguna laman sosial yang mahu Najib meletak jawatan.

"Nak gentar apa, ..kalau baca dalam Twitter atau dalam blog semua orang minta dia (Najib) berhenti, ..kalau dia (Najib) baca dalam itu pun dia tau la orang suruh dia berhenti," katanya ringkas. 

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas mengenai majoriti warga netizen dan rakyat Malaysia yang mahu Najib kekal sebagai Perdana Menteri.

Sepanjang pentadbiran beliau selama 22 tahun, boleh dikatakan hampir setiap masa Tun Dr Mahathir berdepan dengan gesaan untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri sehingga pernah disifatkan sebagai "gila kuasa" sebelum bertindak meletak jawatan.

"Dah lama dah..." katanya ketika mengumumkan perletakan jawatannya di Perhimpunan Agong UMNO pada tahun 2002 sebelum menyerahkan tampuk pentadbiran negara kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau bagaimanapun berjaya memaksa Tun Abdullah meletak jawatan kemudiannya dan menamakan Najib sebagai pemimpin paling tepat untuk menjawat jawatan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan yang diambil terhadap beberapa individu susulan pendedahan mengenai dakwaan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang turut dibangkitkan sebelum ini. -Kedahnews.com