Salah satu sudut pameran yang memaparkan muka depan majalah Gila-Gila yang menjadi kegilaan remaja di Pameran Gila-Gila 2015, Galeri Petronas. - Foto BERNAMA |
KUALA LUMPUR – Industri majalah komik di negara ini dilihat akan terus lemah jika kartunis berterusan mengamalkan sikap malas membuat rujukan ke arah menghasilkan karya bermutu tinggi.
Pengurus Besar Creative Enterprise Sdn Bhd Jaafar Taib berkata keadaan ini berbeza sekitar tahun 70-an dan 80-an yang menyaksikan kartunis majalah seperti ‘Gila-Gila’ menghasilkan naskhah asli berdasarkan pemerhatian terhadap isu semasa melibatkan setiap golongan masyarakat.
“Kartunis kini hanya membuat rujukan sesama sendiri tanpa mengambil kira kehendak pembaca yang mahukan pengisian bermanfaat dan padat selain hiburan,” katanya ketika ditemui Bernama bersempena pameran sambutan Gila-Gila ke-37 anjuran Galeri Petronas yang berlangsung di sini, baru-baru ini.
Pameran berlangsung dari 14 April hingga 15 Julai dengan program sampingan seperti forum dan demonstrasi bersama kartunis. Lebih 500 naskhah karyawan termasuk segmen popular Falsampah Gila-Gila, Perwira Mat Gila dan Lagak A.
Mahmud dipamerkan melalui konsep ringkas serta selesa untuk dihayati pengunjung.
Menjadikan kartunis majalah itu sebagai contoh, Jaafara berkata mereka mempunyai identiti lukisan dan idea tersendiri tanpa dipengaruhi unsur luar seperti elemen Barat atau Jepun.
Bercakap mengenai perkembangan majalah legenda yang menjadi fenomena suatu ketika dulu, beliau berkata majalah Gila-Gila masih lagi bertahan di usia 37 tahun dengan sokongan 25,000 pembaca setiap bulan.
Jaafar berharap kartunis era sekarang dapat menerima teguran yang bernas lantas memperbaiki diri menjadi lebih baik dalam menghasilkan karya yang dapat dijadikan pedoman dan wadah.
Dalam pada itu, Kurator Galeri Petronas Badrulhisham Tahir berkata garapan idea menerusi bahasa kiasan, retorik dan metafora dalam majalah Gila-Gila sebenarnya adalah hasil pemerhatian karyawan terhadap persekitaran mereka termasuk isu ekonomi, rumah tangga dan pendidikan.
Badrulhisham, pengikut setia majalah itu, menganggap majalah berkenaan bertindak sebagai ‘cerminan’ masyarakat menerusi penceritaaan berdasarkan realiti kehidupan yang sangat hampir dengan diri pembaca. – BERNAMA