Umat Nabi Muhammad SAW beruntung kerana walaupun purata jangka hayat hidup adalah sekitar usia 60 ke 70 tahun tetapi Allah SWT menyediakan satu malam yang mana jika beribadat padanya akan mendapat pahala lebih baik daripada 1,000 bulan. Malam itu disebut sebagai lailatul qadr.
Demikian Pemurahnya Allah kepada umat nabi akhir zaman. Bayangkan jika dalam sepanjang hayat, kita dapat bertemu dan beribadat 20 kali pada malam al-qadr. Perkiraan mudahnya, kita sudah mendapat pahala seolah-olah beribadat selama 16,600 tahun. Lumayankan?
Malangnya, masih ada yang tidak teruja dan tidak beriman dengan janji Allah ini. Sebab itu, banyak masjid dan surau yang sepi dalam 10 terakhir Ramadan. Sepatutnya, ketika inilah kita berlumba-lumba memenuhi masjid dan surau untuk solat berjemaah termasuk tarawih.
Malangnya, ramai yang tewas. Fokus beribadat sudah lari. Masjid bertukar sepi sebaliknya pusat beli-belah dikerumuni.
Apa lagi yang menjadi batu penghalang umat Islam menumpukan ibadat terutamanya qiamullail pada 10 malam terakhir Ramadan? Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Carilah lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil daripada 10 malam terakhir di bulan Ramadan. (Riwayat Muslim).
Ramai dalam kalangan kita yang memberi alasan sibuk dan letih sebagai punca tak larat hendak berqiamullail. Soalnya, adakah kita lebih sibuk daripada Nabi SAW. Ibadat qiamullail adalah kegemaran Rasulullah SAW dan para sahabat.
Saidatina Aishah r.a. pernah berkata: "Janganlah kamu meninggalkan ibadah qiamullail kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya. Apabila baginda sakit atau keletihan, baginda bersolat dalam keadaan duduk".
Biar apa pun keadaannya, usahakan sekurang-kurangnya kita tunaikan dua rakaat solat tahajud. Kemudian bacalah al-Quran, berselawat, berzikir, bermunajat dan sebagainya. Hendaknya jangan dibiarkan 10 malam terakhir Ramadan itu berlalu begitu sahaja. Sebabnya, belum pasti kita akan bertemu dengan bulan yang penuh keberkatan ini pada tahun depan.
Ramadan juga adalah bulan istimewa. Sebabnya, kita sudah dikira melakukan qiamullail apabila kita solat berjemaah bermula Isyak, tarawih dan witir. Sedangkan dalam bulan-bulan lain, kita perlu tidur dahulu sebelum boleh berqiamullail. Justeru bagi mereka yang "sibuk" sangat, usahakanlah sekurang-kurangnya agar dapat melakukan solat sebagaimana yang tersebut.
Ganjaran
Hal ini dijelaskan menerusi hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Siapa yang solat bersama imam sampai imam selesai, maka ditulis untuknya pahala qiam satu malam penuh". (Riwayat Tirmidzi).
Ungkapan Nabi SAW "solat bersama imam sampai selesai" menunjukkan yang menjadi anjuran kepada kita adalah solat tarawih bersama imam dari awal sehingga selesai solat witir.
Justeru, marilah kita menjadi orang yang cerdik dalam mengatur strategi bagi memperoleh pahala yang semaksimum mungkin sepanjang Ramadan. Hadis ini memberi khabar gembira kepada makmum yang setia bersama imam sehingga selepas solat witir dengan mendapat ganjaran pahala beribadat sepanjang malam.
Sepatutnya, kita yang diberi kesempatan berada dalam Ramadan di negara yang aman damai ini tidak mensia-siakan peluang yang ada. Kalau mampu, tambah dengan solat tasbih, solat taubat dan solat hajat. Ini supaya kita tidak menjadi orang yang merayu-rayu kepada Allah agar dikembalikan ke dunia ini walaupun sekejap untuk lakukan kebaikan. Ketika itu semuanya sudah tidak berguna.
Ingatlah peringatan Allah yang bermaksud:
"Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu):“Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”. (Sajdah: 12)
Bagi suami dan ayah, jika sudah bangun untuk beribadat waktu malam, jangan dilupakan isteri dan anak-anak. Kejutkan juga mereka agar sama-sama beroleh keberkatan dan ganjaran yang dijanjikan dalam malam al-qadr itu. Marilah kita mencontohi Nabi SAW yang akan mengejutkan ahli keluarganya pada 10 malam terakhir Ramadan untuk beribadat kepada Allah.
Seperkara yang perlu diberi perhatian adalah keikhlasan kita dalam melakukan segala ibadat sepanjang Ramadan. Ganjarannya sangat hebat sebagai mana sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Barang siapa yang menghidupkan malam-malam Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu". (riwayat Bukhari dan Muslim).
Sumber: Utusan