Umat Muhammad SAW Berperang Dengan Ancaman Fitnah Di Akhir Zaman

Kita masih ada beberapa hari sahaja lagi berbaki sebelum meninggalkan Ramadan bulan tarbiyyah dan ibadah yang penuh berkat. Hari-hari yang tersisa ini seharusnya diambil kesempatan sepenuhnya untuk kita menggandakan ibadah bagi menjadikan kita benar-benar manusia bertakwa sebagaimana matlamat Ramadan yang digariskan al-Quran.

Namun melihat suasana perdebatan di dalam ruang-ruang media sosial hari ini, seakan-akan manusia sudah lupakan Tuhan bahkan tidak lagi mempedulikan keberkatan Ramadan.

Malan-malam terakhir yang menjanjikan seribu kebaikan juga seolah-olah tidak dipedulikan lantaran begitu galak berdebat di ruang-ruang media tentang aneka isu yang hakikatnya terdedah kepada tohmah dan fitnah.

Memang benarlah telahan Nabi SAW lebih 1,400 tahun lalu yang sudah pun menggambarkan suasana yang disebut berulang kali dengan istilah "zaman fitnah".

Bahkan hakikatnya fitnah zaman moden dengan kecanggihan teknologi maklumat tidak lagi berlegar secara tradisi melalui pancaindera mulut semata-mata, malah berkembang hebat dengan menggunakan jari-jemari.

Ternyata banyak isu yang dibangkitkan berlegar seputar maklumat yang hangat disebarkan dan dibahaskan di dalam media-media sosial. Malah kebanyakan pandangan yang disuarakan hanya berpandukan andaian-andaian mahupun maklumat-maklumat separa masak yang belum tentu asas kebenarannya.

Apa yang dapat dirumuskan zaman kehebatan media sosial sekarang, maklumat dan fitnah hanya di hujung jari. Bahan fitnah juga tidak memerlukan masa lama untuk tersebar luas hanya dengan menekan butang mahupun papan kekunci.

Kecanggihan pelbagai peralatan IT seperti telefon pintar dengan dibantu perisian masa kini seperti Whatsapp, Facebook, Twitter, Flicker, Instagram, blog, laman sesawang dan banyak lagi turut membantu satu-satu maklumat sampai dengan hanya menggunakan jari-jemari tanpa memerlukan kudrat, wang ringgit mahupun masa yang panjang.

Mungkin benarlah telahan Nabi SAW bahawa umat kini berada pada zaman fitnah yang besar sehingga diwasiatkan berkali-kali dalam banyak hadis keperluan untuk umat tetap tegar berpegang prinsip al-Quran dan as-Sunnah.

Teliti

Salah satu prinsip penting yang dipasakkan dalam al-Quran buat pegangan orang beriman dalam mendepani zaman fitnah seperti hari ini ialah tabayyun.

Tabayyun ialah prinsip dan akhlak orang beriman yang merujuk kepada amalan meneliti dan menyelidiki sesuatu berita, tidak tergesa-gesa dalam membuat kesimpulan sebelum dipastikan keabsahan dan kesahihan berita tersebut.

Prinsip ini dipertegaskan Allah SWT dalam al-Quran melalui surah Al-Hujurat, ayat 6: 
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti (tabayyun), agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan menyesal atas perbuatanmu itu.”
Ayat ini merupakan ayat perintah kepada setiap yang mengaku beriman agar sentiasa menyelidiki sesuatu berita yang datang agar tidak terjerumus ke dalam kancah perbuatan atau tindakan yang menimbulkan dosa sehingga menatijahkan penyesalan akibat keputusannya yang tidak adil atau merugikan pihak lain.


Tabayyun juga membawa pengertian agar umat sentiasa teliti dan berhati-hati dalam membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara.

Imam as-Syaukani rahimahullah berkata, “Yang dimaksud dengan tabayyun ialah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan tasabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Fathul Qadir, 5:65).

Ia seiring dengan disiplin dan tradisi keilmuan Islam yang memerlukan seorang cendekiawan dan ulama memperhalusi satu-satu permasalahan ilmu dengan menggunakan metadologi kajian yang objektif, sistematik, relevan dan sah.

Adab atau sikap yang terkait dengan tabayyun agar tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuklah juga mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahas aib dan membahayakan pemikiran.

Sebab itulah dalam surah al-Hujurat juga, prinsip tabayyun diseiringkan dengan ayat yang menuntut umat bersangka baik dan tidak mudah menjatuh hukum atau kesimpulan sebagaimana yang disebut ayat 12 dalam surah yang sama:
“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa”.
Demikianlah akhlak dan prinsip al-Quran untuk sentiasa bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran.

Berhati-hati

Kegagalan mengamalkan tabayyun akan menatijahkan musibah kepada diri dan ummah sehingga membawa kepada penyesalan diri yang teramat di dunia dan akhirat. Inilah diisyaratkan Allah dalam surah al-Hujurat ayat keenam sebagaimana ulasan di atas.


Justeru dalam berhadapan dengan zaman fitnah dengan bantuan teknologi maklumat yang begitu canggih masa kini, umat seharusnya lebih berhati-hati dan mengamalkan prinsip tabayyun sebelum menyebarkan mahupun berkongsi satu-satu berita.

Dalam senario masa kini tatkala begitu banyak lambakan maklumat hingga menjadikan kita keliru antara benar atau salah, adalah lebih baik kita kembali kepada prinsip Islam.

Ini supaya kita tidak mudah menjatuhkan sebarang kesimpulan apatah lagi untuk menyebarkan maklumat yang boleh jadi fitnah yang memudaratkan.

Apa yang perlu lebih digeruni kiranya kita jatuh muflis di akhirat lantaran menjadi agen penyebar fitnah mahupun mudah membuat tuduhan dan tohmah tanpa tabayyun sebagaimana hadis Nabi SAW:
“Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat: “Adakah kamu semua mengetahui siapa itu orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: “Orang yang muflis di sisi kami adalah orang yang tidak memiliki dirham dan harta benda”. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis dari kalangan umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan (pahala) solat, puasa, dan zakat, dan dia juga datang dengan (dosa) mencaci maki orang, menuduh (memfitnah) orang, memakan harta orang (dengan jalan yang salah), menumpahkan darah orang (bukan dengan jalan syarak), memukul orang (dan sebagainya). Maka diberikan pahala-pahalanya kepada orang sekian, dan pahala-pahalanya kepada orang sekian (kerana perbuatan buruknya terhadap orang lain) sebelum diselesaikan urusannya, akan diambil dosa-dosa mereka (iaitu orang-orang yang diperlakukan perbuatan buruk di dunia), kemudian dosa-dosa itu dilemparkan ke atas orang tadi, kemudian dia dihumbankan ke neraka”. (Hadis Riwayat Muslim).
Mudah-mudahan Ramadan yang berbaki ini dapat mengembalikan kita kepada penghayatan makna takwa yang diungkapkan berulang-kali oleh Allah sebagai manifestasi kejayaan berpuasa.

Ini termasuklah menzahirkan akhlak al-Quran dalam menangani sesuatu berita berteraskan prinsip tabayyun dan mengelakkan prasangka ‘dzan’ sebagaimana yang digariskan dalam Surah al-Hujurat.

Jika setiap warga mengamalkannya sudah tentu negara akan lebih didominasi dengan aura-aura positif yang penting untuk membangunkan masyarakat yang kuat dan berakhlak.

*DR. ASYRAF WA JDI DUSUKI, PENULIS ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)/Utusan