Unjuran Terkini Fitch Menunjukkan Ekonomi Negara Kukuh

Fitch Ratings
PUTRAJAYA – Semakan Fitch Ratings ke atas unjuran kredit Malaysia kepada ‘stabil’ sesungguhnya membuktikan dasar ekonomi dan pengurusan kerajaan yang semakin baik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya gembira kerana Fitch, agensi penarafan antarabangsa, mengekalkan penarafan kredit Malaysia dan menyemak naik unjuran kita kepada stabil,” katanya dalam muat naik terkini dalam Facebook dan Twitter beliau.

Fitch Ratings dalam laporan terbaharu mereka mengesahkan bahawa penarafan penerbit mata wang asing jangka panjang pada ‘A-‘ manakala resit depositori antarabangsa (IDR) bagi mata wang tempatan kepada ‘A’.

Penarafan terbitan bon mata wang tempatan tidak bercagar senior Malaysia juga disahkan pada ‘A’ dan unjuran agensi itu ke atas IDR jangka panjang tersebut disemak menaik kepada stabil daripada negatif sebelum ini.

Dalam membuat penarafan ke atas Malaysia, Fitch berkata kewangan fiskal semakin meningkat sejak tahun lalu dengan defisit umum kerajaan susut daripada 4.6 peratus Keluaran Dalan Negara Kasar (KDNK) pada 2013 kepada 3.8 peratus bagi 2014.

Malahan hutang kerajaan secara amnya juga mencatatkan penguncupan daripada 54.7 peratus pada akhir 2013 kepada 53.9 peratus pada akhir 2014 lalu.

Fitch berkata kemajuan yang direkodkan ke atas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) serta pembaharuan semula subsidi bahan api, turut menyokong kedudukan kewangan fiskal semasa negara.

Defisit fiskal juga diunjurkan terus mengecil tahun ini walaupun harga minyak masih rendah. Ia berkata kedudukan pasaran modal tempatan yang kukuh turut menyokong keperluan pembiayaan domestik negara.

Fitch Ratings merupakan antara tiga agensi penarafan antarabangsa yang diwujudkan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat sejak 1975 bagi menilai daya saing hutang sesebuah negara dengan kedudukan ekonomi.

Ia bersama-sama Moody’s dan Standard & Poor’s lebih popular disebut Big Three juga diiktiraf di peringkat global dari segi penilaian kredit mana-mana negara atau syarikat gergasi. -Agensi