Penasihat DAP, Lim Kit Siang |
ALOR SETAR - Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa bahawa usaha partinya ke arah mendekatkan diri ke arah bangsa Melayu di negara ini mendapat sambutan dan disifatkan sebagai mencapai kemajuan yang baik.
DAP yang sebelum ini dikatakan sebagai pro-kaum Cina dan sering dilabel sebagai "chauvinis ultra kiasu" dilihat telah berjaya menambat hati beberapa anak muda yang diketengahkan sebagai mewakili parti berkenaan.
"Saya tidak menyedarinya. Tetapi apa-apa pun, kami akan terus mempromosikan DAP sebagai parti rakyat Malaysia. Ini akan menjadi jawapan umum
"Sekurang-kurangnya, daripada dilihat menjadi parti terlalu pro-Cina kepada parti pro-Melayu, DAP membuat beberapa kemajuan," katanya yang dipetik dari Malaysiakini, semalam.
DAP sebelum ini berjaya menarik hati Dyna Sofia Mohd Daud sebagai calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan pada tahun lalu, seorang gadis bertudung litup Syefura Othman atau dikenali sebagai Rara, dan Jamila Raahim antara anak muda Melayu yang "dipikat".
Tiga hari sebelum DAP mengumumkan berkuburkan gabungan Pakatan Rakyat, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said mengejutkan ramai pihak apabila memilih DAP sebagai wadah perjuangan politiknya berbanding PAS atau PKR.
Aktivis PAS dari Johor, Sheikh Omar Ali pula menyertai parti itu selepas kumpulan "syaitan dalam jemaah" dalam parti itu disingkirkan dalam pemilihan kepimpinan parti Islam itu awal bulan lalu.
Ramai penganalisis politik berpandangan bahawa pendekatan DAP itu dibuat bagi memecah monopoli PAS dan PKR sebagai calon pilihanraya di kawasan majoriti Melayu Muslim dan bakal diketengahkan sebagai calon parti berkenaan nanti.
Selain itu, beberapa anak muda yang masih "mentah" dalam mengenali sejarah dan perjuangan politik, namun tidak sabar untuk mendapat tempat atau jawatan di dalam kepimpinan parti politik Melayu turut tertarik menyertai DAP untuk diketengahkan sebagai pemimpin berjawatan. -Kedahnews.com