Gambar Hiasan |
JOHOR BAHARU – Polis mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik seluruh kontinjen memberi keutamaan dalam menangani isu kewujudan perisa yang mengandungi dadah dalam penggunaan rokok elektronik.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata pihaknya berharap pelbagai maklumat mengenai isu tersebut dapat diperoleh sekali gus mengheret mereka yang terlibat ke mahkamah.
“Pasukan khas yang sudah ditubuhkan sedang menjalankan siasatan mengenai isu ini dan kita (polis) akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Johor Datuk Rusli Ahmad.
Mohd Mokhtar berkata pihaknya dalam masa yang sama menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang penyalahgunaan bahan terlarang dan sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang negara ini.
“Sekejap secara tradisional, lepas itu sintetik dan kini melalui rokok. Benda ini (dadah) tidak menguntungkan sesiapa malah mengundang binasa kepada diri dan negara. Nasihat saya, berhentilah daripada terlibat penyalahgunaan dadah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar turut menggesa orang ramai supaya mempertingkat kerjasama erat dengan polis dalam bersama-sama membanteras kegiatan jenayah.
Senjata yang paling canggih dalam membanteras jenayah adalah kerjasama yang erat antara anggota masyarakat dengan polis, katanya. – BERNAMA