Video Part 2: Lester Dedah Jumpa Justo, Yakin Bukan Justo Palsukan Dokumen

Lester Melanyi
Terbaru, sebuah akhbar tempatan memperoleh bahagian kedua video yang mendedahkan tentang sumber artikel Sarawak Report berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia, Ramesh Rao Krishnan Naidu yang mendakwa bertanggungjawab terhadap video itu berkata, dua bahagian lagi akan dikeluarkan pada masa sesuai.

Menerusi video berdurasi enam minit, bekas pengarang Sarawak Tribune Lester Melanyi mendakwa beliau pernah menemui warga Switzerland, Xavier Andre Justo yang kini disiasat polis Thailand berhubung dakwaan ugutan.

Pertemuan berlaku di London pada tahun 2012 dan 2013.

Memetik laporan The Star, Lester percaya bekas eksekutif PetroSaudi itu tidak mengubah sebarang dokumen yang didakwa dicuri daripada bekas majikannya namun mendakwa Justo ada menemui pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan menyerahkan hanya 10 peratus dokumen yang diperolehnya.

“Baki 90 peratus lagi direka rakyat Malaysia, pembangkang. Dia tidak mengusiknya. Pereka web di London memang mahir. Jika mereka diminta meminda wang, ia dapat dilakukan dan kelihatan asli,” kata Lester.

Beliau mendakwa, merekalah yang memalsukan dokumen untuk menjayakan misi meletakkan kesalahan jenayah pada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lester berkata, Justo seorang lelaki yang senang didekati dan dia tidak percaya warga asing itu melakukan jenayah sebegitu, selain tidak percaya bahawa Clare akan membayar Justo untuk mendedahkan maklumat kepadanya.

Beliau mendakwa Justo dan Sarawak Report diperkenalkan oleh pengarah Tabung Bruno Manser (BMF) untuk mereka cerita yang akan menjadi sensasi.


“Dia terbang dari Switzerland ke London untuk melihat apa Clare dapat lakukan dengan berita mengenai Malaysia untuk menyerang Najib,” kata Lester.

Setakat ini, Sarawak Report belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkembangan terkini ini. - Kedahnews.com