Wakil PAS Dalam Kerajaan Negeri Perlu Letak Jawatan - PAS Kuala Kangsar

Dr. Raja Ahmad Iskandar
ALOR SETAR – PAS Kuala Kangsar meminta supaya PAS Pusat mengarahkan semua wakil parti itu di dalam Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang untuk meletak jawatan yang disandang dengan segera.

Yang Dipertuanya, Dr. Raja Ahmad Iskandar menegaskan bahawa PAS perlu membuktikan ia merupakan sebuah parti politik yang berintegriti dan tegas dalam membuat setiap keputusan membawa nama parti itu.

Kata beliau, langkah itu juga penting supaya ahli PAS tidak keliru dengan konsep "cerai tapi duduk serumah".

"PAS adalah sebuah parti yang berprinsip atas dasarnya dan tidak akan tunduk dengan sebarang kecaman pihak luar terhadap kepimpinan dan dasar kita selama ini.

“Justeru, ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat perlu segera mengeluarkan arahan asemua jawatan lantikan politik di Pulau Pinang dan Selangor wajar dikosongkan,” tegasnya dalam satu kenyataan media, semalam.

Raja Ahmad turut mengingatkan kepada wakil-wakil PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang untuk perlu akur dengan keputusan Majlis Syura Ulama sebelum ini yang memutuskan segala kerjasama dengan DAP.

Tegasnya, wakil-wakil PAS terbabit perlu meletak jawatan bagi membuktikan ketegasan PAS yang tidak mengharapkan kedudukan dalam kerajaan negeri yang diketuai atau disertai DAP.

“Keputusan memutuskan kerjasama dengan DAP adalah komitmen yang paling tinggi yang harus dilakukan oleh ahli parti dan ia adalah keputusan yang berat bagi memartabatkan syiar Islam,” katanya lagi. -Kedahnews.com