Walau Dianggap Bodoh, Miskin, Bangsat, Mereka Ikhlas Perjuang PAS - TGHA


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meluahkan rasa syukur dan gembira dengan ahli serta penyokong PAS yang masih tetap setia bersama parti itu meskipun kini dilanda pepecahan dan masalah dalaman.

Kata beliau, golongan yang setia pada PAS itu jelas ikhlas berjuang bersama jemaah tanpa mengharapkan pangkat, jawatan atau kedudukan di dalam parti.

Menurut Abdul Hadi, mungkin ada di kalangan golongan itu dianggap bodoh, miskin mahupun bangsat  kerana masih setia menyokong PAS, namun beliau yakin mereka sentiasa dipelihara Allah kerana ikhlas meneruskan perjuangan Islam.

"Kumpulan yang ikhlas bersama (gerakan Islam) daripada semua peringkat dan lapangan, mereka bukan sahaja berhubung dengan manusia, bahkan dengan Allah siang dan malam, termasuk yang dianggap bodoh tetapi tidak lupakan Allah siang dan malam, yang kaya menyumbang harta dan yang alim serta bijak menyumbang ilmu serta kemahiran.

"Bagi yang miskin dan bangsat kerana dipandang hina kebanyakan umum pula, mereka  turut menyumbangkan doa serta tenaga dengan ikhlas tanpa terlibat dengan pertandingan pemimpin atau meminta menjadi calon dan jawatan.

"Kesemua mereka tetap dengan pendirian walaupun tidak dipilih dalam mesyuarat agong atau muktamar. Mereka tidak dicalonkan dalam piliharaya dan tidak mendapat projek dan balak, tetapi tidak merajuk dan terus beristiqamah," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut mengenai masalah dalaman PAS, Ahli Parlimen Marang itu turut menyifatkan kumpulan yang menjadikan PAS sebagai platform untuk meraih jawatan dan pangkat adalah seumpama "pelakon" yang akan tenggelam mengikut kehendak Allah.

"Sesiapa yang tidak istiqamah di atas aqidah, dasar dan matlamat pasti berundur, melompat, terlompat atau dilempar keluar daripada jemaah.

"Sesiapa yang mengubah PAS lain daripada ketetapan Allah tersebut pasti tenggelam mengikut ketetapan Allah juga," katanya lagi.

Sebelum ini, bekas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Khalid Abdul Samad mengesahkan semua pemimpin PAS yang terlibat dalam Gerakan Harapan Baru (GHB) akan meninggalkan parti itu secara automatik apabila sebuah parti politik baharu ditubuhkan secara rasmi pada 14 September ini.

GHB yang dilancarkan pada 13 Julai lalu diketuai bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan turut dianggotai beberapa pemimpin utama golongan progresif parti itu yang "disingkirkan" perwakilan PAS pada pemilihan awal Jun lalu. -Kedahnews.com