Wang Kelian - Gambar Hiasan |
SATUN (Selatan Thailand) – Wang Kelian yang dikejutkan dengan penemuan 106 rangka manusia mangsa sindiket pemerdagangan manusia baru-baru ini, hampir lumpuh sejak kemudahan pergerakan bebas ke pasar sempadan itu dibatalkan 1 April lepas.
Sebelum kemudahan bergerak sehingga satu kilometer ke Wang Prachan di selatan Thailand dan Wang Kelian (Perlis, Malaysia) tanpa dokumen ditarik balik atas alasan keselamatan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, kedua-dua pekan itu sangat makmur.
Ribuan orang dari Malaysia dan Thailand datang membeli-belah di Wang Kelian dan Wang Prachan pada hari-hari tersebut namun suasana sekarang suram sekali.
Tinjauan Bernama mendapati lebih satu pertiga daripada kira-kira 200 peniaga di Wang Kelian telah menutup perniagaan dan terbaru bekalan air dan elektrik di Arked Jabatan Hutan Wang Kelian dipotong kerana tiada penyewa.
Pegawai Daerah Khuan Don (merangkumi Wang Prachan) dalam Wilayah Satun, Pisan Aweve berpendapat tindakan kerajaan Malaysia membatalkan kelonggaran itu menjejaskan perniagaan dan ekonomi rakyat khususnya penduduk di sempadan.
“Rekod kita menunjukkan kemudahan ini tidak menjejaskan keselamatan atau diambil kesempatan oleh penjenayah sebagai laluan mudah untuk keluar masuk bagi tujuan penyeludupan.
“Pihak berkuasa kedua-dua negara membuat pengawasan yang baik. Lagi pula di sebelah Malaysia ada sekatan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) 1.5 kilometer dari pintu sempadan,” kata Pisan kepada Bernama semasa ditemui baru-baru ini.
Beliau menjelaskan pihak berkuasa Thailand sentiasa memberi kerjasama dengan Malaysia dalam usaha membanteras jenayah terutama penyeludupan dadah, senjata api atau pemerdagangan manusia melalui sempadan Malaysia/Thailand.
Ketua Kastam Wang Prachan, K. Satrawaha berkata kehadiran rakyat Malaysia mahupun Thailand untuk berbelanja pada tiga hari tersebut sebelum 1 April lepas merosot mendadak.
“Saya simpati nasib peniaga di sini (Wang Prachan) dan juga peniaga di Wang Kelian. Pendapatan mereka terjejas teruk,” katanya yang turut berharap kerajaan Malaysia mengubah pendirian bagi memulihkan ekonomi rakyat.
Komander Infantri Kelima Pasukan Khas Thailand, Kolonel Paisan Nhusang yang ditemui berkata pasukan itu yang menjaga keselamatan sempadan dari Wang Kelian ke Padang Besar berpendapat kelonggaran pergerakan bebas pada Jumaat, Sabtu dan Ahad tidak menyebabkan aktiviti jenayah meningkat atau dijadikan laluan oleh penjenayah.
Katanya beberapa tangkapan membabitkan penyeludupan senjata api dan dadah yang dibuat setakat tahun ini adalah melalui jalan haram atau lebih dikenali lorong tikus.
Seorang peniaga buah di Wang Prachan yang hanya mahu dipanggil Kak Ani, 54, berkata jualannya merosot hampir 80 peratus sejak pergerakan bebas dibatalkan.
“Biasanya pada Sabtu dan Ahad paling ramai dikunjungi. Jualan sangat memuaskan namun saya terpaksa meneruskan perniagaan di sini kerana tiada tempat lagi untuk berniaga,” katanya yang kelihatan kurang ceria.
Seorang pengusaha kedai runcit tempatan di Wang Kelian yang mahu dikenali Don, 35, berkata biasanya jualan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad mencecah RM3,000 tetapi selepas 1 April lepas purata jualan RM300 sahaja.
“Keuntungan yang diperolehi kadang-kadang tidak cukup untuk membayar gaji empat pembantu saya. Ramai perniaga di sini sudah gulung tikar,” katanya sambil merayu kerajaan membenarkan semula pergerakan bebas tersebut.
Pengerusi Jawankuasa Pertanian Perlis yang turut bertanggungjawab mengenai keselamatan sempadan dan hubungan dua hala dengan Thailand, Ahmad Bakri Ali berkata kemasukan rakyat Thailand yang berbelanja di Wang Kelian tidak sampai 2,000 orang sebulan selepas 1 April lepas berbanding lebih 50,000 sebelum itu.
“Perkembangan ini dirasai oleh peniaga selain merugikan negara dari segi tukaran mata wang kerana rakyat Thai paling ramai berbelanja di Wang Kelian berbanding rakyat Malaysia yang membeli-belah di Wang Prachan,” katanya.
Menurut Ahmad Bakri, pihak kerajaan negeri telah menulis surat dengan memberikan alasan munasabah kepada Kementerian Dalam Negeri memohon supaya mempertimbang semula keputusan pembatalan kemudahan pergerakan bebas itu.
“Inilah satu-satunya kemudahan yang diberikan kepada rakyat kedua-dua negara kerana di Padang Besar kemudahan seumpama ini tidak diberikan,” tambahnya.
Jabatan Imigresen menarik balik kemudahan itu pada 1 April lalu menyebabkan para penduduk kedua-kedua negara tidak lagi bebas untuk bergerak melepasi sempadan antarabangsa itu untuk membeli-belah sama ada di Wang Kelian (Perlis) atau Wang Prachan yang terletak di sebelah Thailand.
Sempadan itu menikmati kemudahan berkenaan sejak 1993 dan kemudian ditarik balik pada 1 Feb 2008 atas faktor keselamatan sebelum kelonggaran itu diberikan semula mulai 4 Dis tahun yang sama. – BERNAMA