Sarah Colwill |
SEORANG wanita warganegara British dikatakan fasih bercakap bahasa Inggeris dengan loghat orang Cina selepas terbangun dari serangan strok yang dialaminya.
Sarah Colwill, 40, tidak pernah merantau ke negara China.
Situasi yang dihadapi oleh Sarah merupakan salah satu penyakit daripada 20 kes di seluruh dunia yang digelar Foreign Accent Syndrome.
Sarah yang tinggal di Plymouth, England telah mencuba pelbagai jenis rawatan bagi mengubati sindromnya itu namun tidak berkesan.
“Diberitahu bahawa ia akan berkekalan selama-lamanya merupakan perkara paling sedih untuk didengar. Ia sangat mengejutkan.
“Saya masih orang yang sama di dalam, orang yang tidak kenal saya pasti akan merasakan saya berbeza tapi sebenarnya saya masih Sarah dari Plymouth,” katanya kepada media.
“Kadang-kadang orang ramai tidak akan memahami saya, ia amat mengecewakan. Jika percakapan saya terlalu teruk, saya akan mendiamkan diri.
“Saya tidak boleh ubah gaya percakapan saya, ianya kekal dan saya tidak boleh ubah,” tambahnya.
Sindrom ini pertama kali dikenal pasti pada perang dunia kedua dimana seorang wanita Norway yang mengalami kecederaan pada otak tersedar dengan loghat orang Jerman yang kuat.
Akibat daripada itu, dia telah dipulaukan oleh komunitinya pada tahun 1941. – Agensi