Wanita Kerat Bayi 8 Bahagian Dihukum Penjara 12 Bulan


Seorang wanita yang sebelum ini dituduh memotong bayi perempuannya kepada lapan bahagian sebaik sahaja dilahirkan, telah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Jitra selepas didapati bersalah menyembunyikan kelahiran seorang bayi, semalam.
Majistret, Nurshahida Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Farihah Abd Aziz, 31, selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Foto: BERNAMA
Foto: BERNAMA
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan seorang penganggur didakwa secara sengaja menyembunyikan kelahiran seorang bayi dengan cara memotong bayi berkenaan kepada lapan bahagian sebelum membuangnya ke dalam lubang tandas.
Farihah didapati melakukan kesalahan tersebut dalam bilik mandi di sebuah rumah di Kampung Manggol, Mukim Malau, Jitra antara jam 1 hingga 3 petang, 6 Julai lalu.
Atas kesalahan itu, tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naizatul Zima Tajudin, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ummi Kalthum Zakaria. -Kedahnews.com