Warga Emas Di Kuala Kedah Rayu Bantuan Sara Hidup

Makcik Piah merayu bantuan untuk menyara hidupnya.
KUALA KEDAH - Seorang warga emas yang hilang penglihatan di Kampung Sematang Bonggor, di sini, merayu bantuan kewangan untuk meneruskan kehidupan.

Piah Wahab, 82, berkata, dia terpaksa bergantung hidup dengan dua anak lelakinya, Halim Ahmad, 55, dan Abdul Hamid Ahmad, 43, yang serba kekurangan.

“Makcik sudah tidak mampu melihat sejak 10 tahun lalu. Jadi, hendak uruskan diri sendiri, termasuk bergerak agak sukar dan perlu dibantu.

“Mujurnya, ada anak dan menantu membantu, tapi dengan pendapatan tidak menentu, mereka juga tidak berkemampuan... makcik pun tak sampai hati susahkan mereka,” katanya.

Menurutnya, dengan keadaan kesihatan yang tidak menentu, dia tiba-tiba akan jatuh sakit dan memerlukan wang segera.

"Bila jadi macam itu, kami terpaksa pinjam supaya makcik boleh dirawat," katanya.

Difahamkan, Piah bukan sahaja buta, namun disebabkan faktor usia, dia turut mengalami masalah pendengaran.

Sementara itu, Halim berkata, dia hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM500 sebulan, manakala adiknya memperoleh kira-kira RM600 sebagai tukang cuci. 

Menurutnya, mereka enam beranak, termasuk adik ipar dan dua anak saudaranya ada kalanya terpaksa mengikat perut kerana wang sara hidup tidak mencukupi.

"Kami masak guna kayu terbuang untuk jimatkan wang.

"Malah, hanya makan mi segera untuk mengalas perut," katanya.

Katanya, mereka rela tinggal di kediaman yang bumbungnya bocor dan usang kerana tidak berkemampuan.

"Hendak makan pun kadang-kadang tak lepas. Jadi, bagaimana hendak baiki rumah.

"Kami tak mampu beli barang kelengkapan, tapi mujur ada penduduk yang sudi bagi perabot terpakai untuk kami gunakan," katanya.

Sumber: Sinar Harian