Warga Emas Terkejut Baki Akaun KWSP Hanya Tinggal 6 Sen..!

Gambar kredit: Utusan Borneo
ALOR SETAR - Dilaporkan bahawa seorang pesara Jabatan Tanah dan Survey terkejut apabila mendapati wang dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya dikatakan hanya berbaki sebanyak enam sen sahaja.

Menurut lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Mr. Kan, 77, yang berasal dari Sibu, Sarawak, dia tidak pernah mengeluarkan wang KWSP miliknya yang berjumlah RM11,217.12 sejak bersara pada tahun 1993, kira-kira 22 tahun yang lalu.

Difahamkan bahawa baki akaun tersebut hanya disedari olehnya ketika melakukan pemeriksaan potongan carumannya di Pejabat KWSP di Jalan Kampung Datu, Sibu, baru-baru ini.

“Sejak berkhidmat sebagai kakitangan awam selama 23 tahun sehingga pencen, saya tidak pernah melakukan sebarang pengeluaran wang KWSP,” kata Mr. Kan, terkejut dengan apa yang berlaku.

Memetik laporan dari Utusan Borneo, Mr. Kan telah dimaklumkan oleh KWSP bahawa tiga pengeluaran telah dilakukan pada 1989, 1993 dan 1999.

“Semua pengeluaran tersebut bukan dilakukan oleh saya dan kini saya meminta pihak berkenaan menyemak semula bagaimana pengeluaran wang KWSP boleh dikeluarkan orang lain dan tidak dikenali,” katanya lagi.

Mr. Kan tergerak hati untuk memeriksa status simpanannya selepas salah seorang anaknya bertanyakan mengenai perkara itu.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Mr. Kan sebagai rujukan pihak KWSP dan warga emas itu berhasrat menyelesaikan perkara itu di pejabat KWSP di Kuching dalam masa terdekat.

Sepanjang bersara, Mr. Kan selama ini menerima wang pencen sebanyak RM600 pada setiap bulan. -Kedahnews.com