Yaya & Ibu Kandung Tidak Lagi Terpisah, Bakal Sambut Aidilfitri Bersama

Yaya dan ibu kandungnya kini tidak lagi terpisah
Mungkin tiada detik yang lebih bermakna buat kanak-kanak berusia lima tahun yang menjadi mangsa dera hingga patah 13 tulang, selain disatukan dengan ibu kandungnya, Sanaa Ab Malek hari ini.

Apa yang lebih mengembirakan, kanak-kanak malang Nur Zuliana Zaa’ra yang lebih dikenali sebagai adik Yaya bakal menyambut Aidilfitri bersama ibunya apabila dibenarkan pulang ke rumah selepas  lebih dua minggu dirawat di  Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan.

Ini berikutan hak penjagaannya kini diserahkan kepada Sanaa.

Perintah itu diperolehi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan daripada Mahkamah Majistret Pasir Mas agar hak penjagaan sementara diserahkan kepada ibu kandungnya.

Pengarah JKM Kelantan, Mohamad Hanafi Maulud berkata perintah itu dibuat mengikut Seksyen 25 (2) (b) Akta Kanak-Kanak 2001 di mana mahkamah boleh mengarahkan supaya kanak-kanak yang didera diletakkan dalam pemeliharaan seseorang yang layak dan sesuai.

Jelasnya, dalam kes adik Yaya, ibu kandung merupakan individu paling layak menjaganya.

“Setakat ini, pihak jabatan dimaklumkan oleh pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II, tempat di mana Yaya dirawat sekarang bahawa kanak-kanak itu bertambah stabil dan semakin pulih sekarang.

“Beliau tidak didera secara seksual dan akan dibenar pulang pada bila-bila masa dari sekarang,” ujarnya.

Selain itu, pihak JKM akan sentiasa memantau keadaan Yaya dari masa ke semasa di rumah kediaman Sanaa.

Bercakap kepada The Rakyat Post, Sanaa meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas kepulangan anak sulungnya itu.

“Yaya akan diberikan perhatian dan jagaan rapi oleh keluarga saya.

“Saya seakan dapat merasai kegembiraannya dan berharap perkara lalu akan dilupakan terus olehnya,” katanya.

Kes adik Yaya mengejutkan banyak pihak apabila dilaporkan mengalami trauma fizikal yang teruk selain patah 13 tulang, termasuk 10 tulang rusuk akibat didera sejak beberapa bulan lalu. -Kedahnews.com