Keadaan Siti Nur Zulaikha yang terlantar sejak 16 Mac lalu. |
Ibu mangsa, Sharipah Man, 49, dari Taman Ria berkata, anaknya, Siti Nur Zulaikha Najumuddin, 20, yang terlibat kemalangan motosikal bersama rakannya di Padang Temusu, Sungai Petani sehingga menyebabkan dia terlantar kini dalam proses penyembuhan.
Menurutnya, akibat kemalangan itu, Siti Nur Zulaikha patah kaki kanan dan tangan kiri selain berhadapan masalah tulang rusuk serta gangguan saraf sehingga menyebabkan mata kanannya tidak dapat dibuka.
“Namun kini, Alhamdulillah, keadaannya positif dan dalam proses untuk sembuh.
"Bagaimanapun, pembelajarannya di Kolej Komuniti dalam bidang automotif masih lagi ditangguhkan buat kali kedua,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan daripada Econsave Bandar Puteri Jaya bersama 100 penerima lain.
Sharipah berkata, anaknya kini sudah boleh duduk dan bersembang berbanding sebelum ini yang hanya mampu terlantar sahaja.
Dia turut berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana memberi bantuan bulanan bagi membeli keperluan anak termasuk lampin pakai buang.
Sinar Harian sebelum ini menyiarkan kisah Sharipah yang hilang punca pendapatan selepas anaknya kemalangan, menyebabkan perbelanjaan seharian terganggu selain wang simpanan habis digunakan untuk membiayai perubatan anaknya.
Sharipah yang berstatus ibu tunggal juga terpaksa menanggung perbelanjaan persekolahan seorang lagi anak, Siti Nur Lisa, 13.