13 Rumah Rosak Teruk Di Yan Ekoran Dibadai Ribut Sabtu Lalu

Omar (kiri) menunjukkan keadaan rumahnya yang mengalami kerosakan.
YAN – Sebanyak 13 rumah di sekitar daerah Yan rosak teruk akibat dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut kira-kira jam 4 petang Sabtu lalu.

Difahamkan, antara kawasan yang terlibat ialah di Sungai Yan Besar, Kampung Teroi Bukit, Kampung Singkir Genting dan Titi Teras.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jawa, Sungai Yan Besar, Omar Mohamad Isa berkata, rumahnya turut menjadi mangsa apabila dihempap pokok tumbang.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di Dewan Naza, Gurun untuk menghadiri Mesyuarat Umno Bahagian Jerai.

“Saya dapat panggilan dari anak jam 4.30 petang memaklumkan kejadian ribut berlaku di rumah dan merosakkan bahagian dapur.

“Kemudian saya bergegas pulang selepas mesyuarat selesai. Sebaik tiba di rumah, saya lihat pokok besar menghempap rumah saya,” katanya kepada Sinar Harian.  

Sementara itu, anaknya, Mohd Fikri Omar, 39, memaklumkan kejadian itu berlaku terlalu pantas dan tidak disedarinya.

“Semasa kejadian, saya sedang menonton televisyen di ruang tamu. Tiba-tiba saya dengar bunyi seakan guruh yang kuat sebelum bekalan elektrik terputus.

“Mulanya memang saya sangka bekalan elektrik terputus sebab guruh tetapi apabila saya pergi ke dapur, saya terkejut melihat ruang dapur hanya berbumbung langit,” katanya.

Dia yang tinggal berseorangan di rumah kemudiannya berlari menyelamatkan diri dan segera menghubungi pihak bomba untuk bantuan.

Insiden yang berlaku di kawasan itu juga mendapat perhatian Adun Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail yang turut mengambil kesempatan meninjau ke lokasi kejadian.

Ku Rahman berkata, hanya empat rumah mengalami kerosakan teruk manakala selebihnya memerlukan bantuan membaiki bumbung.

Sumber: Sinar Harian