Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – Kritikan berterusan sesetengah pihak terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jelas merupakan satu kes klasik kerana pengkritik tidak akan pernah berpuas hati dengan apa jua penjelasan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ini kerana walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengumumkan bahawa RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Najib adalah sumbangan penderma dan bukannya daripada dana 1MDB, golongan itu akan terus menerus mengkritik menuntut jawapan.
Melalui catatan terbaharu dalam laman blognya hari ini, Salleh berkata, orang-orang seperti ini akan terus menuntut jawapan dan tidak akan gembira dengan apa sahaja jawapan yang diberikan oleh pihak berkuasa berhubung isu itu.
“Mereka akan menuntut supaya anda lakukan apa yang mereka mahukan dan apabila anda mengikut tuntutan itu, mereka masih tidak akan gembira.
Semalam, SPRM melalui satu kenyataan mengesahkan perkara itu, namun Salleh berpendapat ia tidak akan dapat memuaskan hati golongan seperti ini kerana mereka tidak akan percaya dan akan terus menerus membuat tuntutan dan dakwaan baharu walau apapun jawapan diberikan. – BERNAMA