1MDB: PDRM Serbu Pejabat TPR SPRM, Rampas Komputer

Foto: The Malaysian Insider
PUTRAJAYA – Polis menyerbu pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, malam tadi dan merampas sebuah komputer riba dan dokumen berhubung siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut sumber SPRM, pasukan polis yang dianggotai 12 pegawai dan anggota telah menyerbu pejabat seorang TPR di Bahagian Operasi Khas SPRM di Presint 3 di sini, selama dua jam, malam semalam.

Pasukan itu turut menyerbu rumah TPR itu di sini.

Difahamkan antara dokumen yang dirampas termasuk dokumen yang ditandatangani Ketua Bahagian Operasi yang menjalankan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd, anak syarikat Kementerian Kewangan.

TPR itu yang dipinjamkan daripada Jabatan Peguam Negara dan merupakan TPR SPRM bagi kes lima individu yang ditahan reman berhubung siasatan akaun 1MDB. Kelima-lima lelaki itu, termasuk dua orang ‘Datuk’ dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Semalam, TPR itu antara tiga individu termasuk seorang lelaki berpangkat ‘Tan Sri’ iaitu bekas Ahli Lembaga Penasihat SPRM dan seorang wanita yang bertugas sebagai ahli Sekretariat Kewangan dan Pentadbiran Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla) Jabatan Peguam Negara ditahan berhubung laporan berbaur fitnah oleh Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Ketiga-tiga individu itu telah dibebaskan selepas polis merakam percakapan mereka.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata siasatan polis turut menjurus kepada isu kebocoran maklumat rasmi kerajaan, yang disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu. – BERNAMA