Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim |
PUTRAJAYA – Kira-kira 20 wanita daripada pelbagai latar belakang kerjaya dan peringkat umur akan dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat dan Perunding Wanita untuk membantu memantapkan pembangunan wanita di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kesemua yang bakal dilantik memiliki kemahiran dan kepakaran dalam 13 bidang berbeza antaranya kesihatan, pendidikan serta sains dan teknologi.
“Kita perlukan mereka yang berani untuk menyatakan pandangan dan idea serta ‘vocal’ demi pembangunan wanita…ada antara yang dilantik ini wanita ‘unsung,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.
Rohani tidak menolak kemungkinan bahawa pandangan serta idea yang bakal diutarakan oleh kumpulan berkenaan akan diambil kira dalam penggubalan sebarang dasar kerajaan.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti semua individu berkenaan yang bakal menerima watikah pelantikan bersempena majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2015 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada 24 Ogos bertemakan ‘Raikan Kegemilangan’.
Menurut Rohani, sambutan yang diadakan setiap tahun itu bertujuan mengiktiraf sumbangan golongan wanita kepada pembangunan dan kemajuan negara selain memberi pendedahan kepada masyarakat tentang isu dan cabaran akan datang.
“Tema ini memang sesuai kerana wanita dah capai pelbagai kejayaan dan sekarang adalah masa untuk raikan pencapaian itu serta beri tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya,” katanya.
Rohani berkata pada majlis itu juga penyampaian watikah pelantikan penyandang Kursi Kepimpinan Wanita di Universiti Kebangsaan Malaysia akan diadakan.
Kursi tersebut diwujudkan sejak Mac 2012 bertujuan memastikan isu kepimpinan wanita dikaji oleh pakar dan para penyelidik serta dapat menjana ilmu watan untuk dimanfaatkan oleh kerajaan dan pihak berkepentingan yang lain. – BERNAMA