Jokowi |
Jakarta - Dua puluh satu keluarga di Semarang, Jawa Tengah, semalam memfailkan saman terhadap Presiden Joko Widodo (Jokowi) berhubung dengan tindakan tentera Indonesia merobohkan rumah mereka.
Saman itu difailkan di Mahkamah Daerah Semarang.
“Saman itu menamakan presiden sebagai defendan kerana dia panglima tertinggi tentera,” kata peguam keluarga berkenaan Josep Parera.
Menurut Josep, selain Jokowi, defendan lain ialah ketua tentera, ketua turus tentera dan panglima tentera di Diponegoro, Jawa Timur.
Josep berkata, tindakan memfailkan saman itu dibuat kerana tentera tidak mempunyai hak dari segi undang-undang untuk merobohkan rumah berkenaan yang terletak di tanah seluas 6,400 meter persegi milik keluarga berkenaan sejak 1950-an.
Katanya, tentera mendakwa keluarga itu menyerahkan tanah berkenaan kepada Agensi Tanah Kebangsaan (BPN).
“Bagaimanapun, tidak ada bukti menunjukkan tanah itu diserahkan,” kata Josep.
Menerusi saman berkenaan, keluarga itu meminta pampasan berjumlah Rp21.1 bilion (RM6.31 juta). - Agensi