Sydney - Kira-kira 70 kepala buaya yang reput ditemui dalam peti penyejuk beku lama yang dibuang di sebuah bandar terpencil di Australia.
Polis berkata, beberapa remaja menemui sisa bangkai berkenaan di belakang deretan kedai di Humpty Doo, 40 kilometer dari
Darwin, Ahad lalu, sebelum menghubungi polis.
Sekurang-kurangnya 50 hingga 70 kepala buaya air masin itu ditemui di dalam penyejuk beku berkenaan.
“Kami melihat peti sejuk beku yang rosak dan teruk keadaannya dengan bau yang sangat busuk serta dipenuhi ulat,” kata renjer kanan hidupan liar, Tommy Nichols.
Setakat ini belum ada sesiapa ditangkap. Mereka yang didapati bersalah membunuh hidupan liar yang dilindungi berdepan denda sehingga A$76,000 (RM218,000) atau penjara lima tahun.
Tidak jelas kenapa buaya berkenaan dipenggal, tetapi kulit reptilia itu amat berharga.
Buaya air masin yang mampu membesar sehingga tujuh meter dan berat lebih setan diisytiharkan haiwan terlindung sejak 1971 dan semakin banyak membiak di wilayah utara Australia.
Setiap tahun lebih 500 haiwan itu dibunuh untuk melindungi orang awam dan haiwan ternakan.
Purata dua orang mati di Australia kerana dibaham reptilia itu setiap tahun. -AFP