Lori sejuk beku yang mengandungi 70 mayat pendatang ditemui ditinggalkan di tepi jalan dekat sempadan Austria dengan Slovakia dan Hungary |
Vienna - Jumlah pendatang yang mati akibat lemas dalam lori peti sejuk di Austria ialah 70 orang, lebih tinggi berbanding 50 orang yang dianggarkan kelmarin, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Austria, Alexander Marakovits.
Lori berkenaan ditemui ditinggalkan di tepi jalan dekat sempadan Austria dengan Slovakia dan Hungary.
Lori peti sejuk 7.4 tan menggunakan nombor plat Hungary itu mempunyai label syarikat ternak Slovakia dan siasatan kini dilakukan polis Austria serta Hungary.
Canselor Jerman, Angela Merkel, yang berada di Austria menghadiri persidangan pemimpin Balkan mengenai krisis pendatang, berkata beliau amat terkejut dengan berita mengerikan itu.
“Ini adalah amaran kepada kita untuk mengatasi masalah pendatang dengan segera serta dengan semangat Eropah, iaitu semangat bekerjasama dan mencari penyelesaian,” katanya. - AFP