Bumbung Flat PPR Paya Nahu 1 yang rosak disebabkan kejadian ribut, kelmarin. |
SUNGAI PETANI – Seramai 71 keluarga melibatkan 275 mangsa terjejas akibat ribut di daerah ini, kelmarin.
Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Azirawati Abdullah berkata, tiga sekeluarga di Kampung Bukit Belah dipindahkan ke surau setelah rumah mereka dilanda ribut.
"Seramai 188 penghuni dari 48 rumah di Taman Seri Tanjung, Kampung Teluk Che Lela, Kampung Jilid 8 dan Kampung Pengkalan Langgar terjejas.
"Pada masa sama, 22 rumah membabitkan 84 penghuni turut menjadi mangsa apabila bumbung flat Projek Perumahan Rakyat Paya Nahu 1 rosak diterbangkan ribut," katanya.
Berikutan bencana itu, Ahli Parlimen Merbok, Profesor Dr Ismail Daut melakukan kunjungan ke lokasi kejadian dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mangsa.
Sumber: Sinar Harian