Tiga beradik dibawa ke Pejabat AADK Kuala Muda kerana terlibat penagihan dadah. |
SUNGAI PETANI - Hasil serbuan ke atas sebuah rumah kampung di Semeling mengejutkan apabila mendapati tiga beradik termasuk seorang adik perempuan dipercayai terlibat dalam kegiatan penagihan dadah.
Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda, Shamshuri Yusoff berkata, kesemua mereka berusia lingkungan 16 hingga 25 tahun.
Menurutnya, tiga beradik itu terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan dibawa ke Pejabat AADK Kuala Muda untuk proses dokumentasi.
“Serbuan dilakukan atas aduan orang awam berhubung kegiatan penagihan dadah yang melibatkan tiga beradik dalam sebuah rumah,” katanya.
Shamshuri berkata, operasi dilakukan oleh Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK disertai enam anggota termasuk seorang pegawai.
“Anggota yang sampai pada jam 9 pagi terus membuat pemeriksaan ke lokasi kejadian dan mendapati tiga beradik itu dipercayai positif dadah di mana dua lelaki terlibat dadah jenis methaphetamine dan seorang adik perempuan terlibat dadah jenis morfin,” katanya.
Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983.
Menurutnya, pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa berhubung kegiatan itu dan mengharapkan kerjasama masyarakat khususnya pemimpin di sesuatu kawasan untuk sama-sama membasmi kegiatan penagihan dadah.
Katanya, bantuan daripada masyarakat juga penting dalam membantu individu yang terlibat dalam penagihan dadah untuk mengikuti program pemulihan yang disediakan kerajaan.
Sumber: Sinar Harian