Banduan menunjukkan kad ucapan hari raya yang dihasilkan sendiri buat keluarga. |
SUNGAI PETANI – ‘Abang berjanji selepas ini abang tidak akan berbuat jahat lagi dan dengar cakap mak ayah. Abang harap mak dan ayah dapat memaafkan kesalahan abang.
Demikian coretan tulisan tangan kad ucapan hari raya seorang banduan di Penjara Sungai Petani, Julidan (bukan nama sebenar) yang disabitkan kesalahan membunuh gadis bawah umur dua tahun lalu sehingga dikenakan hukuman 18 tahun penjara.
Berdasarkan coretan isi hati tersebut membuktikan Julidan insaf serta mahu pulang ke pangkuan keluarga namun apakan daya, dia masih mempunyai baki 16 tahun lagi untuk menghabiskan sisa hidupnya di tirai besi.
Dalam tulisan berkenaan juga, anak sulung dari lima beradik itu meluahkan perasaan rindu dengan suasana di rumah.
Hasratnya, selepas selesai menjalani hukuman, mereka sekeluarga dapat meluangkan masa bersama dan bergembira.
Apabila ditanya, dia menjelaskan, kisah silam yang menyebabkan dia terjebak ke tirai besi pada usia masih muda menginsafkannya.
“Saya tak mahu mengingatinya semula kerana saya tidak sedar apa yang berlaku.
“Selepas ini, saya janji akan dengar cakap mak dan ayah kerana sayang kedua-duanya selain adik-adik yang lain,” akuinya di hadapan kedua ibu bapanya sempena Program Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri Bersama Penghuni yang mana kedua orang tuanya turut dijemput bersama.
Julidan antara 19 banduan remaja yang berkelakuan baik diberikan peluang dalam pertemuan itu sempena meraikan Aidilfitri tahun ini.
Katanya, dia kini sedang dalam proses permohonan rayuan untuk mengurangkan hukuman penjara yang dihadapinya.
Ibunya, Jamiah (bukan nama sebenar) berkata, kesempatan sama amatlah dihargai kerana berpeluang bertemu, mencium dan memeluk anaknya.
“Sebagai ibu, antara percaya dengan tidak sudah pasti wujud dalam diri apabila hakim menjatuhkan hukuman, namun hubungan kasih sayang antara kami tetap erat dan menganggap hukuman ini sebagai satu bentuk ujian yang perlu ditempuhi dengan reda,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Penjara Sungai Petani, Penguasa Kanan Penjara Husin Johari berkata, kehadiran ahli keluarga meluangkan masa untuk hadir walaupun sibuk dengan tugas sudah pasti bermakna sebagai tanda sokongan khususnya buat warga penjara.
Menurutnya, tanggapan sesetengah pihak bahawa penjara merupakan tembok batu yang sunyi adalah tidak benar kerana ia tidak patut dipinggirkan malah harus didekati dalam memastikan perkhidmatan kepenjaraan di negara ini mencapai matlamat dan objektif ditetapkan.
Sumber: Sinar Harian